Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

26 Apr 2013

Majlis Perpisahan En. Rosli

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada hari Jumaat, 26 April 2013, Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Ketua Pejabat Operasi Gombak, En. Mohd. Rosli bin Mahmood yang akan bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di Glenmarie, Shah Alam, mulai 29 April 2013.




Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Mohd Afiq Aizzuddin, diikuti ucapan wakil anggota POG oleh Puan Norazlinda bt. Ramli yang merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan khidmat cemerlang sepanjang En. Rosli bertugas di POG.

Seterusnya En. Rosli dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang beliau berada di POG. Setelah lebih 4 tahun mencurah bakti memimpin kami, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau.
ucapan

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas merakamkan terima kasih tidak terhingga atas segala tunjuk ajar, teguran, dorongan dan nasihat yang telah beliau berikan dan mendoakan beliau akan terus maju jaya serta berjaya mengejar  segala impian di masa akan datang.


para hadirin...
untuk makluman Pengarah JP Selangor  tak dapat hadir ke majlis ini
kerana ada urusan lain, hanya sempat menghadiri mesyuarat pagi di POG...

Majlis diakhiri dengan acara persembahan multimedia, penyampaian cenderahati, memotong kek, sesi bergambar dan sudah tentulah acara kemuncaknya adalah makan-makan.

macam-macam perasaan ... suka... terharu... sayu... pilu...

buat En. Rosli, kalau rindukan kami , rajin-rajinlah jenguk blog ni...

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi


EMAIL SALAM PERPISAHAN

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Yang dihormati, YBhg. Tuan Haji Ibrahim Bin Jantan (Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor), Puan Norhashimah Bt. Haron (Timbalan Pengarah), Tuan Haji Abd Aziz Bin Abdullah (Ketua Penolong Pengarah), Ketua-ketua Seksyen, Ketua Pejabat Operasi, Penolong-penolong Pegawai Perangkaan dan Penyelia serta seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor.

Untuk makluman semua, saya Mohd Rosli Bin Mahmood, Perangkawan E41 yang bertugas Pejabat Operasi Gombak, akan bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor mulai 29 April 2013 dan hari ini merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Tuan Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Ketua-ketua Seksyen, Ketua Pejabat Operasi, Penolong-penolong Pegawai Perangkaan dan Penyelia serta seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor atas segala bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan yang diberikan sepanjang saya berkhidmat di Jabatan ini. 

Ampun dan maaf dipinta atas segala salah dan silap yang saya lakukan yang mungkin dan telah menyinggung perasaan tuan/puan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan kekurangan itu adalah kelemahan diri saya sendiri.

Tidak lupa juga kepada seluruh Warga Pejabat Operasi Gombak yang banyak membantu saya, mendorong saya dan memberikan kerjasama yang sangat baik pada saya. Saya doakan kalian semua sentiasa berjaya dan sentiasa berlapang dada dalam meneruskan tugas harian. Kebaikan dan kejayaan P.O.Gombak adalah hasil usaha kalian semua. 

Akhir kata dari saya, semoga hubungan silaturrahim antara kita akan terus kekal walaupun di mana kita berada.

Sekian, Terima kasih.

Mohd Rosli Bin Mahmood




 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.