Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

10 Jan 2017

Selamat Datang Muhammad Aiman

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Patah tumbuh hilang berganti. Setelah kehilangan En. Muhammad Faizal bin Noorsham yang bertukar ke Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perak, kini Pejabat Operasi Gombak menerima kehadiran anggota baru.

Pada 9 Januari 2017 (Isnin), En. Muhammad Aiman bin Mohd Arshad, Pembantu Perangkaan E19 telah melapor diri di Pejabat Operasi Gombak.


Beliau yang menetap di Batu Caves, sebelum ini bertugas secara kontrak di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

POG mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan Muhammad Aiman, semoga beliau cepat menyesuaikan diri seterusnya memberikan komitmen yang tinggi sepanjang bertugas di sini.

Baca selanjutnya...

7 Jan 2017

Majlis Persaraan En. Rahimi dan Perpisahan En. Faizal

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada 6 Januari 2017 (Jumaat), POG mengadakan majlis persaraan dan perpisahan bagi menzahirkan penghargaan untuk dua orang anggota.

Mereka adalah En. Ahmad Rahimi bin Abdullah (Pembantu Perangkaan E22) yang bakal menamatkan perkhidmatan atas sebab bersara pilihan pada usia 58 tahun, dan En. Muhammad Faizal bin Noorsham (Pembantu Perangkaan E19) yang bertukar ke Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perak.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Abdul Rahim, diikuti ucapan penghargaan oleh Ketua POG, En. Frankie. Di akhir ucapan beliau, En. Frankie merakamkan ucapan terima kasih kepada En. Rahimi dan En. Faizal di atas segala jasa bakti dan khidmat cemerlang yang telah disumbangkan selama bertugas di POG.


tugas pengerusi majlis yang sebelum ini dikendalikan oleh En. Faizal tanpa dicabar, 
kini diambil alih oleh En. Fadzly... nampak terserlah bakat beliau...



Seterusnya ucapan oleh pegawai yang diraikan, En. Rahimi dan En. Faizal yang sudi berkongsi pelbagai pengalaman pahit manis dan suka duka sepanjang berkhidmat di Jabatan Perangkaan, serta mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang memberikan kerjasama dan tunjuk ajar sepanjang berada di POG, sambil menyelitkan kata-kata nasihat untuk pegawai dan anggota yang masih berkhidmat.





Majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan cenderamata kenang-kenangan kepada kedua-dua pegawai yang diraikan, diikuti tayangan slaid dan jamuan makan.








punch card buat kali terakhir sebelum bersara



 Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan En. Rahimi sentiasa sihat dan berbahagia menikmati alam persaraan serta dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau bersama keluarga.

Warga POG turut mendoakan En. Faizal akan terus maju jaya, dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau sekeluarga di tempat yang baru serta berjaya mengejar segala impian di masa akan datang.

Aamiin, ya Robbal 'aalamiin.


Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.