Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

2 Mar 2018

Program Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) merupakan transformasi perkhidmatan kesihatan awam untuk meningkatkan mutu kesihatan rakyat Malaysia, yang telah dicetuskan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri S. Subramaniam.





Pelaksanaan program ini adalah berdasarkan penglibatan sukarelawan yang dikenali sebagai Pasukan Gerak Sihat Malaysia atau singkatannya GSiM. Sukarelawan ini dipilih dari kalangan masyarakat yang bertindak sebagai agen bagi menggerakkan masyarakat Malaysia ke arah gaya hidup sihat dan seterusnya mencegah penyakit tidak berjangkit.

Pejabat Operasi Gombak (POG) turut tidak ketinggalan menjalin kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gombak dalam mengadakan Program KOSPEN ini khususnya KOSPEN-Plus yang lebih menjurus ke arah  meningkatkan kesedaran kesihatan dan keselamatan di tempat kerja. Dua orang anggota POG telah terpilih menjadi Sukarelawan KOSPEN iaitu Mohamad Bazri bin Abu Bakar dan Nur Al-Kauthar bt Burhan.

Dalam taklimat program yang disampaikan oleh Dr. Nofi Yuliani bt Dahlan, Pakar Perubatan dari PKD Gombak, beliau telah berkongsi pelbagai maklumat dan tips berkaitan penjagaan kesihatan, khususnya yang terkandung dalam Skop Utama KOSPEN iaitu :

1. Amalan Pemakanan Sihat.
2. Hidup Yang Aktif.
3. Pengurusan Berat Badan.
4. Amalan tidak merokok
5. Menjalankan saringan kesihatan.


Selesai sahaja sesi taklimat, dijalankan pula sesi saringan kesihatan meliputi pemeriksaan tekanan darah, bacaan paras gula dalam darah serta pengiraan Indeks Jisim Badan atau BMI yang merupakan petunjuk jumlah lemak badan seseorang berdasarkan nisbah berat badan berbanding ketinggiannya.











Begitulah pelbagai ragam warga POG dalam sesi tersebut. Semoga warga POG terus sihat dari segi fizikal dan mental seterusnya dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan lebih cemerlang. Diharapkan juga tiadalah hendaknya warga POG yang terpaksa bersara awal atas sebab kesihatan ya!


 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.