Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

29 Apr 2018

Program Gegar Riuh DOSM Explorace 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

28 April 2018 (Sabtu)Pejabat Operasi Gombak (POG) telah menganjurkan Program Gegar Riuh DOSM Explorace 2018 bertempat di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. 

Program yang telah diadakan buat julung-julung kalinya ini disertai oleh 11 pasukan dari Ibu Pejabat DOSM Selangor Shah Alam, Pejabat Operasi Gombak, Pejabat Operasi Kajang serta pasukan jemputan dari DOSM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



Acara dimulakan dengan aktiviti senamrobik sebagai pemanas badan pembuka acara. Diikuti acara 'explorace' yang menguji kemahiran peserta menyelesaikan tugasan dan permasalahan yang diberi di setiap 'checkpoint' . Turut diadakan acara cabutan bertuah untuk memeriahkan suasana.

Keputusan DOSM Explorace 2018 

1. Suka Suki Aje (Ibu Pejabat DOSM Selangor Shah Alam)
2. Abang Long Ranger (Ibu Pejabat DOSM Selangor Shah Alam)
3. Kroni (Pejabat Operasi Kajang)
4. POGku Sayang (Pejabat Operasi Gombak)


Saksikan kemeriahan program tersebut :

















 Juara : Suka Suki Aje (Ibu Pejabat DOSM Selangor Shah Alam)

 Tempat Kedua : Abang Long Ranger (Ibu Pejabat DOSM Selangor Shah Alam)

Tempat Ketiga : Kroni (Pejabat Operasi Kajang)




Tahniah kepada semua ahli jawatankuasa, anggota POG termasuk pelajar-pelajar praktikal yang telah bertungkus lumus merancang dan menjayakan program explorace ini. Semoga program ini dapat meningkatkan lagi semangat kerjasama berpasukan dan hubungan silaturrahim di kalangan anggota DOSM.

Baca selanjutnya...

21 Apr 2018

Pemilihan Ahli Jawatankuasa KPOG 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 20 April 2018 (Jumaat), pemilihan bagi jawatankuasa Kelab P.O.G bagi tahun 2018-2019 telah dijalankan. Berikut adalah keputusan pemilihan tersebut:

Penasihat : En. Frankie anak Albert Antau
Pengerusi : Cik Siti Norasyikin bt Mohd Ghani 
Timbalan Pengerusi : En. Mohamad Bazri bin Abu Bakar
Setiausaha : En. Muhammad Aiman bin Mohd Arshad
Bendahari : Pn. Emily Singa

AJK :         
En. Mohd Fadzly bin Mohd Noor (Sukan)
Pn. Husna Bt Khiri (Kebajikan)
En. Abdul Rahim bin Shaharuddin (Sosial)
Pn. Nik Zafifah bt Nik Ibrahim (Ekonomi)
En. Ali bin Ahmad (Blog)





Terima kasih diucapkan kepada ahli jawatankuasa lama yang telah memberi komitmen yang cukup padu dalam merancang dan menjayakan semua aktiviti yang telah dijalankan, dibantu kerjasama dari semua ahli K-POG. Diharapkan ahli jawatankuasa yang baru dipilih ini akan menjalankan tugas dengan lebih cemerlang lagi.


Baca selanjutnya...

15 Apr 2018

Mendaki Bukit Broga 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 14 April 2018 (Sabtu), Pejabat Operasi. Kajang telah menganjurkan aktiviti Mendaki Bukit Broga, Semenyih yang berketinggian 400 meter dari paras laut. Semua warga DOSM Selangor dijemput menyertainya.

Program yang mendapat sambutan menggalakkan dari warga DOSM Selangor itu turut dimeriahkan dengan penyertaan Pengarah DOSM Selangor, En. Muhammad Amri bin Idris; Ketua Penolong Pengarah, En. Mohd Suhaidi Abdul Rais dan Ketua Pejabat Operasi Kajang, termasuk En. Mohd Shahrill bin Abdul Rashid. Manakala P.O Gombak cuma dapat menghantar seorang wakil iaitu Cik Syikin, yang lain mungkin sibuk dengan urusan masing-masing (maklumlah hari cuti).






Tahniah kepada anggota P.O Kajang yang merancang dan menjayakan program ini, serta tahniah kepada semua pendaki yang terlibat, sama ada yang berjaya sampai ke puncak mahupun tidak. Semoga dengan aktiviti seperti ini dapat melahirkan warga DOSM yang sihat dan cergas serta mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita.

Baca selanjutnya...

13 Apr 2018

Selamat Bersara En. Haidzir

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

12 April 2018 (Khamis) - Lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Hari ini merupakan hari terakhir En. Haidzir bin Kidam bertugas di Pejabat Operasi Gombak dan akan mula bercuti rehat sebelum menamatkan perkhidmatan atas sebab bersara wajib pada usia 60 tahun.

Sesungguhnya seluruh warga POG amat merasai kehilangan seorang kakitangan yang berdedikasi lagi berpengalaman luas seperti beliau. Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan En. Haidzir a.k.a Wak Dir sentiasa sihat dan berbahagia menikmati alam persaraan serta dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau bersama keluarga.







Insya Allah, warga POG akan mengadakan majlis perpisahan untuk menzahirkan penghargaan kepada beliau tidak lama lagi.

Berikut adalah email Salam Perpisahan dari beliau kepada seluruh warga DOSM :

Assalamualaikum wrb, Salam Sejahtera, Salam 1 Statistik

YBhg. Dato’ Sri Dr. Ketua Perangkawan Malaysia
YBrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi)
Ybrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial/Demografi)
Pengarah Kanan Bahagian
Pengarah Kanan
Pengarah Negeri
Tuan/Puan,

Alhamdulillah dengan ketentuan dan izinNya saya Haidzir Bin Kidam, Pembantu Perangkaan Gred 22 (KUP) di Pejabat Operasi Gombak, DOSM Selangor akan bersara wajib pada 12 Jun 2018 setelah berkhidmat selama 37 tahun. Hari ini 12 April 2018 merupakan hari terakhir saya bertugas di DOSM dan esok saya akan mula bercuti rehat sebelum bersara.

Pada kesempatan ini, saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf zahir batin diatas tingkah laku, terkasar bahasa, tutur kata yang kurang menyenangkan sepanjang persahabatan kita. Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana memperolehi banyak pengalaman, kenangan, tunjuk ajar dari pegawai-pegawai dan sahabat-sahabat sepanjang saya berkhidmat di DOSM. Saya juga memohon dihalalkan makan dan minum serta ilmu yang diperolehi dari tuan/puan. Semoga silaturrahim dan ukhwah yang terjalin ini akan terus berkekalan. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan kekurangan itu adalah kelemahan saya sendiri.

Saya juga mendoakan YBhg. Dato’ Sri Dr./ Tuan/Puan dan seluruh warga DOSM serta keluarga akan sentiasa di bawah lindunganNya, semoga DOSM akan terus mencapai prestasi yang cemerlang dan unggul sebagai Penjana Statistik Negara yang terbilang di persada dunia.

Periuk kera di pohon berangan,
Lembah rata udang di paya,
Apabila bersara dilupa jangan,
Ada acara undanglah saya.

Sekian, terima kasih.

HAIDZIR BIN KIDAM
Pejabat Operasi Gombak
Jabatan Perangkaan Malaysia
Negeri Selangor.
No.Tel : 017-6985881

Baca selanjutnya...

7 Apr 2018

FitDOSM POG 06/04/18

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

06/04/2018 (Jumaat) - Warga POG telah menganjurkan program senaman FitDOSM demi menyahut seruan program FitDOSM oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bertujuan untuk memastikan anggota Jabatan  sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan cerdas.









Selesai melakukan senaman, diadakan pula jamuan 'pot luck' dengan menu yang sihat dan mempunyai khasiat seimbang juga.


Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.