Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

12 Jun 2018

Majlis Perpisahan Puan Che Norfairos

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada hari Isnin, 11 Jun 2018 bersamaan 26 Ramadhan 1439, Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Puan Che Norfairos binti Che Omar, Pembantu Perangkaan E19. Beliau akan bertukar ke Pejabat Operasi Kuala Krai, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan, berkuatkuasa mulai 4 Jun 2018.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Ketua POG, En. Frankie yang merakamkan penghargaan atas khidmat cemerlang sepanjang Puan Fairos berkhidmat di POG. Diikuti pula ucapan penghargaan dari wakil anggota Tetap, Puan Hazwani dan wakil anggota PSH, En. Fahmi.

Seterusnya Puan Fairos dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang telah memberikan kerjasama, bantuan dan tunjuk ajar sepanjang beliau bertugas di POG. Setelah kira-kira 10 tahun mencurah bakti di POG, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau. Pastinya pertukaran menjelang Syawal ini juga menjadi anugerah paling bermakna buat beliau setelah sekian lama terpaksa berjauhan dengan suami dan anak-anak di Kelantan. 














 Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi puan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan beliau akan terus maju jayadilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau sekeluarga di tempat yang baru serta berjaya mengejar  segala impian di masa akan datang.


Baca selanjutnya...

9 Jun 2018

Ziarah Ramadhan di Rumah Amal Siraman Kasih

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 8 Jun 2018 (Jumaat), Kelab Pejabat Operasi Gombak dengan kerjasama Kelab Sukan Kebajikan dan Sosial DOSM Selangor (KSKS) telah mengadakan Lawatan Muhibbah sempena Ramadhan ke Rumah Amal Siraman Kasih, Bandar Country Homes, Rawang. 

Program yang turut dihadiri oleh Pengarah DOSM Selangor, En. Muhammad Amri bin Idris bertujuan untuk mempromosikan MyCensus 2020 di samping memberikan sedikit sumbangan kepada anak-anak di situ. Seramai 46 orang anak-anak yang terdiri daripada anak-anak yatim, anak fakir miskin, anak ibu tunggal dan golongan yang layak menerima zakat, telah diraikan bersama anggota Pejabat Operasi Gombak.












Diharapkan sumbangan tersebut dapat meringankan beban dan memberi mereka sedikit kegembiraan menjelang lebaran kali ini. Semoga segala sumbangan ikhlas tuan/puan mendapat rahmat dan keberkatan Allah SWT.


Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.