Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

12 Jul 2018

Majlis Sambutan Aidilfitri POG 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

11 Julai 2018 bersamaan 27 Syawal 1439H (Rabu) - Kelab POG dengan kerjasama Kelab Sukan, Kebajikan & Sosial DOSM Selangor (KSKS) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri POG yang telah diadakan bertempat di Bilik Latihan Seri Selayang, Aras 2, Pejabat Operasi Gombak.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah DOSM Selangor, En. Muhammad Amri bin Idris, Ketua Penolong Pengarah, En. Mohd Suhaidi bin Abdul Rais, para pegawai,  AJK KSKS serta anggota-anggota dari Ibu Pejabat DOSM Selangor, Shah Alam dan Pejabat Operasi Kajang.

Turut dijemput menyerikan majlis adalah mantan anggota yang telah bersara dan bertukar. Terima kasih kepada Puan Norazlinda, En. Haidzir Kidam dan En. Ahmad Rahimi atas kesudian mereka hadir memeriahkan majlis ini.

Antara acara yang diadakan adalah penyampaian sumbangan kebajikan dan kelahiran, anugerah kecemerlangan kepada anggota tetap dan PSH di POG bagi separuh tahun 2018 serta penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal di POG.

Acara kemuncak sambutan bertemakan 'Indahnya Beraya di Desa' kali ini pastilah acara santapan pelbagai menu juadah istimewa antaranya; nasi minyak dengan pelbagai lauk pauk seperti kari kambing, ayam masak merah, daging dendeng, rendang, lemang, nasi himpit, sate, laksa serta pelbagai hidangan pencuci mulut yang sungguh menyelerakan.

Saksikan gambar-gambar keceriaan dan kemeriahan majlis tersebut:




 ucapan alu-aluan Tuan Pengarah dan Ketua POG...


 penerima sumbangan kebajikan dan kelahiran...

penerima anugerah kecemerlangan

 penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar praktikal






bila pulak DOSM ada stesen tv sendiri???

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota POG dan tetamu yang menjayakan dan memeriahkan majlis ini. Semoga semangat kerjasama dan ukhuwah antara sesama anggota DOSM Selangor khususnya di POG bertambah erat dan jitu.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN DARI WARGA POG.


Baca selanjutnya...

Majlis Persaraan En. Haidzir

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada 11 Julai 2018 (Rabu), POG telah mengadakan majlis persaraan untuk menzahirkan penghargaan kepada En. Haidzir bin Kidam atau lebih mesra disapa Wak Dir yang telah menamatkan perkhidmatan atas sebab bersara wajib pada usia 60 tahun.

Sesungguhnya seluruh warga POG amat merasai kehilangan seorang kakitangan yang sentiasa ceria, berdedikasi lagi berpengalaman luas seperti beliau. 


Wakdir di zaman muda-muda dulu....

Majlis Persaraan yang diadakan bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri POG ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah DOSM Selangor, En. Muhammad Amri b. Idris; Ketua Penolong Pengarah, En. Mohd Suhaidi bin Abdul Rais serta beberapa orang pegawai dan anggota  Ibu Pejabat DOSM Selangor Shah Alam dan Pejabat Operasi Kajang.

Ketua POG, En. Frankie anak Albert Antau dalam ucapan beliau, mengucapkan terima kasih kepada En. Haidzir di atas segala jasa bakti yang telah disumbangkan selama ini.

Majlis diteruskan dengan ucapan ringkas oleh pegawai yang diraikan. Beliau mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama dan tunjuk ajar para pegawai dan rakan-rakan sepanjang  lebih 30 tahun berkhidmat di Jabatan Perangkaan.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan tayangan video yang mengisahkan tentang memori En.Haidzir sepanjang bertugas di DOSM Selangor. Akhir sekali, Kelab POG berbesar hati memberikan sumbangan cenderahati kenang-kenangan kepada beliau. 



menerima cenderahati kenang-kenangan yang disampaikan oleh En. Amri

bersama otai-otai POG


Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan En. Haidzir sentiasa sihat dan berbahagia menikmati alam persaraan serta dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau bersama keluarga.

Berikut adalah email Salam Perpisahan dari beliau kepada seluruh warga DOSM :

Assalamualaikum wrb, Salam Sejahtera, Salam 1 Statistik

YBhg. Dato’ Sri Dr. Ketua Perangkawan Malaysia
YBrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi)
Ybrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial/Demografi)
Pengarah Kanan Bahagian
Pengarah Kanan
Pengarah Negeri
Tuan/Puan,

Alhamdulillah dengan ketentuan dan izinNya saya Haidzir Bin Kidam, Pembantu Perangkaan Gred 22 (KUP) di Pejabat Operasi Gombak, DOSM Selangor akan bersara wajib pada 12 Jun 2018 setelah berkhidmat selama 37 tahun. Hari ini 12 April 2018 merupakan hari terakhir saya bertugas di DOSM dan esok saya akan mula bercuti rehat sebelum bersara.

Pada kesempatan ini, saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf zahir batin diatas tingkah laku, terkasar bahasa, tutur kata yang kurang menyenangkan sepanjang persahabatan kita. Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana memperolehi banyak pengalaman, kenangan, tunjuk ajar dari pegawai-pegawai dan sahabat-sahabat sepanjang saya berkhidmat di DOSM. Saya juga memohon dihalalkan makan dan minum serta ilmu yang diperolehi dari tuan/puan. Semoga silaturrahim dan ukhwah yang terjalin ini akan terus berkekalan. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan kekurangan itu adalah kelemahan saya sendiri.

Saya juga mendoakan YBhg. Dato’ Sri Dr./ Tuan/Puan dan seluruh warga DOSM serta keluarga akan sentiasa di bawah lindunganNya, semoga DOSM akan terus mencapai prestasi yang cemerlang dan unggul sebagai Penjana Statistik Negara yang terbilang di persada dunia.

Periuk kera di pohon berangan,
Lembah rata udang di paya,
Apabila bersara dilupa jangan,
Ada acara undanglah saya.

Sekian, terima kasih.

HAIDZIR BIN KIDAM
Pejabat Operasi Gombak
Jabatan Perangkaan Malaysia
Negeri Selangor.
No.Tel : 017-6985881



Baca selanjutnya...

6 Jul 2018

Majlis Sambutan Aidilfitri DOSM Selangor 2018

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

5 Julai 2018 bersamaan 21 Syawal 1439H (Khamis) - Warga POG telah berkesempatan hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri DOSM Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam.

Suasana majlis berkonsepkan Seksyen Terbuka yang diadakan di ruang legar seksyen masing-masing ini sungguh meriah dengan para anggota saling berkunjung untuk beraya ke seksyen-seksyen lain.


Jom kita tengok beberapa gambar yang cukup menggambarkan kemeriahan majlis ini:










Seluruh warga POG merakamkan ucapan terima kasih kepada tuan rumah setiap seksyen di atas layanan mesra terhadap kunjungan kami datang beraya. Semoga semangat kerjasama dan ukhuwah antara sesama anggota DOSM Selangor bertambah erat dan padu.
Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.