Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

7 Oct 2018

Program CSR DOSM Selangor 2018 : Statistik Mensejahterakan Rakyat di Kg. Orang Asli Hulu Melaka, Serendah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

SERENDAH, HULU SELANGOR, 6 OKTOBER 2018 – Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Selangor, En. Muhammad Amri bin Idris telah merasmikan Program Statistik Mensejahterakan Rakyat sempena Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di Kampung Orang Asli (KOA) Hulu Melaka, Serendah, Hulu Selangor.

Program ini telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Hulu Selangor dan pelajar-pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Turut hadir ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Shah Alam; Dr. Hasfazilah Ahmad, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Orang Asli Hulu Melaka; En. Siraj anak Taha, Ketua Penolong Pengarah DOSM Selangor; En. Mohd Suhaidi bin Abdul Rais dan Ketua Pejabat Operasi Gombak; En. Frankie Albert Antau.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mempromosikan dan meningkatkan literasi statistik di kalangan komuniti serta menyantuni dan meraikan masyarakat Orang Asli di sini.

pendaftaran

 acara perasmian dan sesi penerangan oleh Pengarah DOSM Selangor

sebahagian komuniti Orang Asli yang hadir

Antara pengisian dalam program ini adalah menjalankan khidmat komuniti (CSR) seperti membaik pulih dan mengecat bangunan surau serta membersihkan kawasan persekitaran surau, mengadakan pertandingan mewarna dan acara sukaneka untuk kanak-kanak, pemeriksaan saringan kesihatan melalui program KOSPEN serta mengagihkan sumbangan pakaian dan buku-buku terpakai.

 khidmat komuniti

saringan kesihatan melalui program KOSPEN


Objektif Penganjuran Program Statistik Mensejahterakan Rakyat

Program Statistik Mensejahterakan Rakyat Sempena Persediaan Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia 2020 ini julung-julung kali diadakan bersempena dengan Hari Statistik Negara yang disambut secara tahunan pada 20 Oktober. Program ini telah berjaya menjadi pentas bagi meningkatkan literasi statistik di kalangan komuniti. Pihak DOSM turut bercadang untuk meluaskan penganjuran program ini agar dapat menjangkau lebih ramai orang awam pada masa akan datang.

Dalam ucapannya, En. Muhammad Amri menekankan bahawa objektif penganjuran program ini adalah untuk mempromosi serta memperkenalkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di kalangan masyarakat setempat dan memberikan pendedahan tentang pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. Banci Penduduk dan Perumahan adalah satu projek yang besar dan kompleks kerana ia melibatkan pelbagai pihak. Pihak DOSM sentiasa berusaha menjalin dan merapatkan hubungan dengan komuniti setempat serta agensi kerajaan lain agar kepentingan data statistik dapat disebarkan selaras dengan aspirasi Statistik Mensejahterakan Rakyat.

Beliau turut menyeru supaya seluruh golongan rakyat dapat memberi kerjasama yang sepenuhnya untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dalam banci ini. Ini bagi membolehkan DOSM mendapat semua maklumat yang diperlukan dan akhirnya dapat digunakan oleh pembuat-pembuat dasar untuk melaksanakan agenda Negara bagi mencapai kesejahteraan hidup rakyat.

 pertandingan mewarna

acara sukaneka


Hari Statistik Negara 2018

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2017 bersetuju supaya Hari Statistik Negara disambut pada 20 Oktober setiap tahun. Ini membuktikan bahawa Kerajaan menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan ahli statistik di Malaysia. Hari Statistik Negara turut diperluaskan kepada segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada pembekal dan pengguna statistik seperti agensi Kerajaan dan swasta; institusi pendidikan di peringkat rendah, menengah dan tertiari; komuniti perniagaan, individu serta para penyelidik. Ini kerana statistik adalah “keperluan” setiap individu dan ianya sangat penting sebagai pandu arah menentukan kesejahteraan rakyat, bertepatan dengan tema sambutan Hari Statistik Negara iaitu “Data Berkualiti. Kehidupan Sejahtera” atau “Better Data. Better Lives”.

En. Muhammad Amri menyatakan bahawa survei atau kajian yang dipertanggungjawabkan untuk dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah penting kepada kerajaan persekutuan mahupun negeri. Data-data ini membantu agensi-agensi kerajaan, swasta, ahli perniagaan, persatuan penduduk untuk membuat perancangan. Bagi kerajaan persekutuan dan negeri, maklumat yang diperolehi membantu dalam membentuk dasar seterusnya membuat pelan tindakan yang sewajarnya.

Justeru itu, beliau mengambil kesempatan menyeru masyarakat untuk memberi kerjasama penuh serta sokongan padu kepada Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM dalam melaksanakan kerja-kerja survei rutin jabatan atau penyenaraian tempat kediaman semasa kehadiran anggota jabatan ke premis kediaman masing-masing.

Aktiviti Persediaan Banci Penduduk dan Perumahan ini masih berterusan, bermula pada tahun 2017 sehingga 2019 bagi memperolehi data penduduk setempat iaitu nama, bilangan ahli isi rumah, pekerjaan serta julat pendapatan isi rumah. Matlamat pelaksanaan persediaan banci ini adalah untuk mendapatkan data yang komprehensif dan berkualiti supaya pihak jabatan dapat merancang kerja bagi penyempurnaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia yang bakal dilaksanakan pada tahun 2020.

Selamat Menyambut Hari Statistik Negara... 
Data Berkualiti, Kehidupan Sejahtera!!!

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan data dan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia sila layari www.dosm.gov.my.



 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.