Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

27 Sept 2023

Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 Bersama Agensi Peringkat Negeri Selangor

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

27 September 2023 – Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor telah menganjurkan Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 Bersama Agensi Peringkat Negeri Selangor, bertempat di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan objektif memaklumkan kepada agensi-agensi terlibat pertanian tentang pelaksanaan Banci Pertanian 2024. Selain dari membincangkan dan mencadangkan Tadbir Urus Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 di Negeri Selangor, sesi ini juga bermatlamat untuk mewujudkan platform bagi DOSM dalam menjalinkan dan memperkukuhkan perhubungan strategik bersama agensi di peringkat negeri dan daerah.
Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 Bersama Agensi Peringkat Negeri Selangor yang dirasmikan oleh YB Tuan Haji Ir Izham bin Hashim, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, disertai oleh Tuan Mohamad Zahri Bin Samingon, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datin Rosmayuzi Bt Musa, Timbalan Pengarah II Bahagian Pertanian Kementerian Ekonomi, Tuan Pongot Bin Sajab, Pengurus Besar Sektor Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor, wakil-wakil dari Media Selangor dan dihadiri Pengarah-Pengarah beserta wakil-wakil dari 26 agensi dan 80 warga jabatan ini diharapkan berjaya mendapatkan input secara langsung strategi pengoperasian di lapangan daripada agensi berkaitan serta berhasil meningkatkan pengalaman dan pengetahuan dalam sesi perkongsian pengetahuan dan mencari solusi bagi permasalahan yang timbul melalui praktis dan pengalaman yang bersesuaian.
Disamping itu, jutaan terima kasih juga diucapkan buat penceramah-penceramah bagi slot Sesi Pembentangan Overview Perlaksanaan Banci Pertanian 2024 dan Status Penyusunan Data Pentadbiran Pertanian dari Agensi Negeri Selangor yang terdiri dari Encik N. Rajkumar A/L V. Nagarethinam dan Encik Syed Ibrahim Bin Mohd Jamaluddin dimana kedua-duanya merupakan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Perangkaan Pertanian dan Alam Sekitar, Jabatan Perangkaan Malaysia.









Secara amnya, pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang akan bermula pada 7 Julai 2024 ini adalah untuk mendapatkan maklumat utama struktur pertanian negara. Banci ini meliputi semua pertubuhan serta isi rumah yang telah dikenalpasti menjalankan aktiviti pertanian iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan perhutanan serta pembalakan sama ada sebagai majikan atau bekerja sendiri untuk tujuan jualan dan atau sara diri. Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor di dalam ucapannya, Banci Pertanian dilaksanakan pada tahun hadapan bertujuan dijadikan pangkalan data bagi membuat keputusan penting terutamanya apabila keterjaminan makanan menjadi isu penting ketika ini.


 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.