Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

3 Mar 2014

Trekking ke Air Terjun Sungai Chiling

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 2 Mac 2014 (Ahad), beberapa anggota POG iaitu Bazri, Ali & anaknya, Rohaizad, Faizal & isteri, Shahrul serta Rozan & sepupunya berkesempatan menyertai aktiviti trekking di Air Terjun Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu. Sempena musim kemarau dan mungkin rumah masing-masing sedang mengalami catuan air, kelihatan mereka begitu bersemangat untuk mencari ketenangan (atau mencari air) di air terjun ini.

Setelah membeli sedikit bekalan makanan di Pasar Peladang Kuala Kubu Baru, perjalanan diteruskan. Air Terjun Sungai Chilling ini terletak kira-kira 14 km dari pekan Kuala Kubu Bharu, mengikuti jalan menuju ke Bukit Fraser. Selepas Empangan Sungai Selangor dan selepas melalui satu jambatan sempit,  akan jumpalah jalan masuknya di sebelah kanan jalan melalui pintu gerbang tertulis Santuari Ikan Sungai Chiling. Tempat ini dibuka untuk pelawat hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Hari-hari lain ditutup untuk kerja-kerja pemuliharaan.

baru sampai
Faizal dan isterinya telah menunggu kami di pintu gerbang tersebut. Dari pintu masuk tersebut kena trekking pula lebih kurang 500 meter sampailah jumpa tapak perkhemahan yang cukup luas dan lengkap dengan kemudahan tandas, surau, wakaf dan kaunter pendaftaran. Santuari ini dijaga dan diuruskan oleh Jabatan Perikanan. Bayaran masuk cuma RM 1 seorang.

9.00 pagi, kami memulakan trekking ke air terjun menyusuri laluan yang agak landai, memakan masa kira-kira 45 minit dan perlu melintasi anak sungai 6 kali termasuk 1 jambatan gantung (sungai yang sama sebenarnya, cuma kena lintas banyak kali sebagai jalan pintas ke air terjun). Selepas 3.00 petang tak dibenarkan mendaki ke air terjun atas sebab-sebab keselamatan. Petang-petang selalu hujan, khabarnya di sini bila hujan sering berlaku kejadian kepala air, kalau terkandas atau dilanda kepala air buruk padahnya.

tak sabar-sabar abang baju putih yang depan tu
uncle Bazri sedang melepaskan lelah atas batu

menyeberangi sungai entah kali ke berapa...

Di sepanjang sungai banyak ikan kelah dan tengas berkejar-kejaran dan akan mengerumuni kita kalau ditabur makanan. Makanan ikan boleh dibeli di kaunter pendaftaran tadi pada harga RM 2 sebungkus. Dilarang sama sekali menangkap ikan di sini dengan apa cara sekalipun, sama ada memancing, menjala, menyauk, menuba mahupun jika ilmu anda hebat dan mampu menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Hukumannya agak berat iaitu boleh didenda sehingga RM 10,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali. 


beri makan ikan
kena selak ikan baru nampak air ni
seronok betul budak ni dikelilingi ikan

Terdapat tiga tingkat air terjun di sini. Tingkat paling bawah paling ramai pengunjung, tingkat kedua sangat curam dan tiada laluan, manakala untuk ke air terjun tingkat ketiga perlu mendaki melalui laluan yang agak curam di tepi air terjun serta tidak begitu sesuai untuk kanak-kanak.

 Tapi alang-alang dah sampai, kami terus menuju air terjun tingkat ketiga di mana terdapat kolam yang besar untuk berenang dan berendam. Selepas itu kami turun semula dan singgah sebentar di air terjun pertama yang dipenuhi pengunjung.  Memikirkan tidak selesa untuk mandi di situ, kami mencari lokasi lain yang lebih baik untuk berenang dan berendam sepuas-puasnya sebelum meneruskan perjalanan balik menjelang tengah hari.

air terjun tingkat 1
tingkat 2 yang curam... Shahrul buat-buat tak gayat je tu
tingkat 3
pasangan paling lasak di POG buat masa ini
Sayang sekali kerana ramai anggota lain yang ingin turut serta tetapi tidak berkesempatan kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Tak apa, lain kali kita buat lagi, harapnya lebih ramai dapat menyertai.

 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.