Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

14 Feb 2025

Amanat YBhg Dato’ Sri Ketua Perangkawan Malaysia sempena 8 Tahun menerajui DOSM

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Alhamdulillah, 14 Februari 2025 merupakan satu tarikh yang amat bermakna bagi saya, kerana genap lapan tahun saya diberi amanah untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Tempoh ini bukan hanya sekadar perjalanan profesional, tetapi juga sebuah pengalaman yang membentuk diri saya sebagai seorang pemimpin dan penjawat awam yang terus berkhidmat untuk negara dan rakyat.

Sepanjang tempoh ini, saya telah menyaksikan transformasi besar dalam dunia perangkaan—daripada pendekatan tradisional kepada penggunaan teknologi data raya, kecerdasan buatan (AI), dan analitik lanjutan. Dalam menghadapi cabaran ekonomi, sosial, dan pandemik yang melanda dunia, kita di DOSM sentiasa memastikan bahawa setiap data yang disampaikan adalah tepat, telus, dan berimpak tinggi untuk menyokong kepada setiap dasar-dasar negara yang dilaksanakan.

Sebagai Ketua Perangkawan, saya memandang statistik sebagai nadi kehidupan negara. Statistik bukan hanya sekadar angka-angka yang tercatat dalam laporan, tetapi ia adalah cerminan realiti kehidupan rakyat Malaysia. Dalam tempoh lapan tahun ini, kita telah menerbitkan pelbagai laporan yang memberikan gambaran menyeluruh tentang keadaan ekonomi, sosial, dan demografi negara. Melalui kajian dan penyelidikan yang mendalam, kita membekalkan data yang menyokong keputusan penting dalam pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan kesejahteraan sosial negara.

Sebagai contoh, statistik tentang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar pengangguran, inflasi, dan kadar kemiskinan adalah sebahagian daripada indikator penting yang memberi kesan langsung kepada kebijakan kerajaan dalam merangka dasar. Selain itu, statistik penduduk dan perumahan, pendidikan dan kesihatan adalah sandaran utama dalam merancang masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia.

Namun begitu, statistik tidak hanya terhad kepada angka. Saya selalu mengingatkan anggota DOSM bahawa setiap data yang kita kutip adalah tentang kehidupan sebenar, tentang keluarga yang bergantung pada bantuan kerajaan, anak-anak yang sedang membesar, dan pekerja yang berusaha memperbaiki kehidupan mereka. Setiap angka mencerminkan harapan dan impian rakyat Malaysia, dan ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan ketepatan dan integriti pada setiap data dan angka yang dipersembahkan.

Dalam usaha kita memastikan negara bergerak ke arah yang lebih maju, saya percaya bahawa pemimpin statistik bukan hanya seorang yang mementingkan kecekapan teknikal, tetapi juga berpegang teguh pada prinsip integriti, ketelusan, dan dedikasi. Saya amat berbangga kerana dapat bekerja bersama-sama dengan warga DOSM yang berkaliber dan berdedikasi, yang sentiasa memastikan bahawa tugas kami bukan sekadar mengeluarkan statistik, tetapi amanah yang harus dipenuhi dengan penuh rasa tanggungjawab.

Setiap pencapaian yang kita raih hari ini adalah hasil daripada kerja keras dan ketabahan kalian semua. Kejayaan kita bukan hanya diukur dengan laporan statistik, tetapi juga dengan impaknya terhadap kehidupan rakyat.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga DOSM. Kejayaan kita hari ini bukanlah usaha seorang individu, tetapi hasil kerja keras, dedikasi, dan semangat berpasukan yang luar biasa. Tanpa sokongan anda semua, tidak mungkin kita dapat mencapai tahap yang kita nikmati hari ini.

Terima kasih juga kepada pengguna data dan statistik di seluruh pelosok yang terus memberikan sokongan kepada kami dalam memastikan negara ini sentiasa bergerak maju dengan data yang berkualiti. Bersama-sama, kita akan terus menggalas tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi, bersemangat, dan terus menjadi pemacu utama untuk kemajuan negara tercinta, Malaysia.
Statistik segalanya pasti.

Sumber : Facebook DrUzir Mahidin


 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.