Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

8 Oct 2011

Majlis Bacaan Yaasiin & Tazkirah

Seperti biasa, pada hari Jumaat pertama setiap bulan  majlis bacaan Yaasiin akan diadakan di Pejabat Operasi Gombak. Namun kali ini agak istimewa kerana diserikan dengan penampilan khas Ustaz Ali Omar, Imam 1, Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes, Rawang.



Beliau memimpin bacaan Yaasiin seterusnya menyampaikan tazkirah berkisar tentang penerapan nilai-nilai murni dalam hidup kita. Antara intipati tazkirah beliau :

1. Pentingnya menjaga solat. 

Dalam zaman ini ramai manusia yang melalaikan serta meninggalkan solat sedangkan amalan yang mula-mula sekali dihisab di akhirat nanti adalah amalan solat. Malah solat jika dikerjakan dengan sempurna juga akan mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.


2. Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah. 
Mensyukuri nikmat Allah adalah wajib. Tidak mensyukuri nikmat Allah adalah berdosa apatah lagi mengkufurinya. Bersyukur dengan nikmat Allah bukan sekadar megucapkan 'Alhamdulillah' tetapi lebih daripada itu iaitu dijelmakan dalam bentuk amal perbuatan dan percakapan dengan menggunakan nikmat itu untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.


3. Sentiasa bertaubat
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : 
“Setiap anak Adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat”. ( Ibn Majah ).
Dari Nabi saw bersabda bahawa Allah berfirman ( hadis qudsi ) :
"Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya kamu melakukan kesalahan siang dan malam dan Aku mengampuni semua dosa, oleh itu pohonlah keampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampuni kamu." (Imam Muslim).

Akhir sekali Ustaz Ali Omar mengajak hadirin mengalunkan doa taubat dan menghayatinya beramai-ramai, yang bermaksud :

"Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga-Mu, tetapi aku tidak pula sanggup menanggung siksa neraka-Mu, dari itu kurniakanlah keampunan kepadaku, ampunkanlah dosaku, sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar....".

RENUNG-RENUNGKAAANN...DAN SELAMAT BERAMAAALLL!


 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.