Assalamualaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera.
Satu perjumpaan bersama Pengarah telah diadakan pada hari Jumaat, 18 November 2011 di Pejabat Operasi Gombak. Sempena kedatangan beliau, satu sessi ceramah motivasi telah diadakan yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Psikologi HQ Putrajaya, Pn. Sharifah Sakinaz Nur Azah bt. Syed Mohamed Fadzillah. Memang molek sangat pagi Jumaat yang indah ini diisi dengan majlis ilmu sebegini.
Intipati penting dalam ceramah tersebut adalah:
- Pentingnya komunikasi yang berkesan agar apa yang kita mahu ucapkan atau sampaikan dapat difahami dan ditafsirkan dengan tepat oleh orang lain. Antara tip komunikasi berkesan yang diberikan penceramah adalah berfikir sebelum berkata-kata dan menggunakan bahasa yang bersesuaian. Komunikasi yang berkesan dalam sesebuah organisasi pula akan memastikan kelancaran dalam menyampaikan maklumat serta mengelakkan salah faham. Penceramah juga menyelitkan beberapa aktiviti komunikasi berkesan melibatkan audien yang dipenuhi gelak ketawa, membuatkan suasana tidak membosankan. Memang berkesan ceramah beliau.
- Pentingnya kemampuan mengawal emosi agar tidak mencetus masalah atau konflik yang boleh menyusahkan diri sendiri mahupun orang lain. Untuk mengawal emosi, bertindaklah secara positif, berfikir secara positif, fikir sebelum buat dan bertenang setiap masa. Jangan biarkan diri anda dikawal emosi, sepatutnya andalah yang mengawal emosi! Jika anda ada masalah untuk mengawal emosi, mungkin anda boleh menghubungi puan penceramah selepas ini untuk sessi luahan perasaan... :)
Selesai saja ceramah, acara disambung pula dengan sessi perjumpaan bersama Pengarah JP Selangor, Tn. Hj. Ibrahim b. Jantan, khususnya bagi membentangkan laporan kemajuan Banci Ekonomi (B.E) 2011. Sebelum itu Ketua P.O Gombak, En. Rosli b. Mahmood telah membentangkan laporan kemajuan operasi B.E di peringkat POG.
Sebelum majlis berakhir, Tuan Hj. Ibrahim Jantan sempat menyampaikan tazkirah berkisar tentang Husnul Khatimah, bermaksud berakhimya kehidupan manusia di dunia dengan kesudahan yang baik, begitu juga sebaliknya su’ul khatimah iaitu berakhirnya kehidupan manusia sebagai penyudah yang buruk. Sama-sama kita renungkan dan sama-sama kita berdoa agar kita kembali menemui-Nya dalam keadaan husnul khatimah, minta dijauhkan dari keadaan su' ul khatimah. Na'uzubillahi min zalik.
Majlis disudahi dengan kesudahan yang baik juga iaitu acara makan beradab nasi ayam goreng berempah yang lazat itu.
Sekian, wartawan K-POG melaporkan.
Maaf kali ini tiada gambar sempat diambil.
Sepatah Dua Kata
Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________