Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

3 Jan 2013

Amanat Tahun Baru 2013 dari Ketua POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Selamat tahun baru 2013. Marilah sama-sama kita hayati Amanat Tahun Baru dari Ketua POG, En. Mohd Rosli bin Mahmood, semoga dapat diambil iktibar.




Assalamualaikum w.b.t,

Alhamdulillah, beberapa hari lagi kita akan meninggalkan tahun 2012, tahun yang penuh suka dan duka kepada kita. Tahun yang banyak mengajar kita tentang tanggungjawab seorang Hamba Allah s.w.t, tanggungjawab seorang Muslim, tanggungjawab seorang penjawat awam dan tanggungjawab seorang rakan sekerja.

Tahniah dan terima kasih kepada tuan/puan semua kerana dengan usaha dan daya dari tuan/puan, kita dapat mengharungi segala rintangan dalam memastikan P.O. Gombak terus cemerlang dan seiring dengan pejabat lain. Sekurang-kurangnya dalam merealisasikan hasrat Jabatan, P.O.Gombak turut memainkan peranan.

Dalam memastikan kejayaan dan kecemerlangan ini terus dicapai, kecemerlangan berterusan dari tuan/puan amat bermakna. Sudah menjadi lumrah alam, dalam mencapai kejayaan, ada yang perlu kerja kuat, komitmen tinggi dan usaha berterusan. Tidak dinafikan juga ada dikalangan kita yang terkebelakang sedikit, kurang komitmen dan kurang usaha.

Sekiranya ada sifat sedemikian (kalangan terkebelakang, kurang komitmen dan kurang usaha), ayuhlah kita berubah, jadikan Tahun 2013 sebagai permulaan. Biarlah kita menjadi sebahagian dari warga P.O.Gombak yang bersama-sama meningkatkan kecemerlangan P.O.Gombak. Tinggalkan perkara-perkara yang tidak baik. Ayuhlah...

Diharapkan Tahun 2013 menjadi tahun:

1. Yang meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah

2. Yang menginsafkan diri kita sebagai seorang Muslim

3. Yang meningkatkan daya usaha kita agar menjadi penjawat awam yang berkualiti

4. Yang merubah kita menjadi semakin 'bernilai'

5. Yang mengubah kita menjadi rakan sekerja yang sama-sama berusaha meningkatkan kecemerlangan Jabatan

6. Yang memastikan sumber rezeki kita halal dan diberkati

7. Yang menjadikan kita lebih bertanggungjawab dalam membekalkan data/maklumat yang berkualiti dan bertepatan masa kepada pembangunan negara

8. Yang penting, kita sama-sama memastikan P.O.Gombak terus mantap dan cemerlang

 

Terima kasih kepada Penolong saya Pn. Norazlinda kerana banyak membantu saya dalam menguruskan organisasi ini. Sumbangan yang cemerlang dari Pn. Norazlinda telah memastikan kecemerlangan dapat dikekalkan.

Terima kasih juga kepada penyelia-penyelia saya, En. Rahimi dan En. Arifin kerana membantu memastikan kecemerlangan P.O.Gombak.

Terima kasih kepada semua anggota, FE dan juga kawalan serta pentadbiran.

Tahun 2013, saya masih bersama tuan/puan.

Jumpa lagi... Sekian, terima kasih.


 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.