Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

26 Apr 2013

Majlis Perpisahan En. Rosli

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera. 

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada hari Jumaat, 26 April 2013, Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Ketua Pejabat Operasi Gombak, En. Mohd. Rosli bin Mahmood yang akan bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri di Glenmarie, Shah Alam, mulai 29 April 2013.




Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Mohd Afiq Aizzuddin, diikuti ucapan wakil anggota POG oleh Puan Norazlinda bt. Ramli yang merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan khidmat cemerlang sepanjang En. Rosli bertugas di POG.

Seterusnya En. Rosli dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang beliau berada di POG. Setelah lebih 4 tahun mencurah bakti memimpin kami, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau.
ucapan

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas merakamkan terima kasih tidak terhingga atas segala tunjuk ajar, teguran, dorongan dan nasihat yang telah beliau berikan dan mendoakan beliau akan terus maju jaya serta berjaya mengejar  segala impian di masa akan datang.


para hadirin...
untuk makluman Pengarah JP Selangor  tak dapat hadir ke majlis ini
kerana ada urusan lain, hanya sempat menghadiri mesyuarat pagi di POG...

Majlis diakhiri dengan acara persembahan multimedia, penyampaian cenderahati, memotong kek, sesi bergambar dan sudah tentulah acara kemuncaknya adalah makan-makan.

macam-macam perasaan ... suka... terharu... sayu... pilu...

buat En. Rosli, kalau rindukan kami , rajin-rajinlah jenguk blog ni...

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi


EMAIL SALAM PERPISAHAN

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Yang dihormati, YBhg. Tuan Haji Ibrahim Bin Jantan (Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor), Puan Norhashimah Bt. Haron (Timbalan Pengarah), Tuan Haji Abd Aziz Bin Abdullah (Ketua Penolong Pengarah), Ketua-ketua Seksyen, Ketua Pejabat Operasi, Penolong-penolong Pegawai Perangkaan dan Penyelia serta seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor.

Untuk makluman semua, saya Mohd Rosli Bin Mahmood, Perangkawan E41 yang bertugas Pejabat Operasi Gombak, akan bertukar ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor mulai 29 April 2013 dan hari ini merupakan hari terakhir saya berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Tuan Pengarah, Timbalan Pengarah, Ketua Penolong Pengarah, Ketua-ketua Seksyen, Ketua Pejabat Operasi, Penolong-penolong Pegawai Perangkaan dan Penyelia serta seluruh warga Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor atas segala bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan yang diberikan sepanjang saya berkhidmat di Jabatan ini. 

Ampun dan maaf dipinta atas segala salah dan silap yang saya lakukan yang mungkin dan telah menyinggung perasaan tuan/puan. Yang baik itu datangnya dari Allah dan kekurangan itu adalah kelemahan diri saya sendiri.

Tidak lupa juga kepada seluruh Warga Pejabat Operasi Gombak yang banyak membantu saya, mendorong saya dan memberikan kerjasama yang sangat baik pada saya. Saya doakan kalian semua sentiasa berjaya dan sentiasa berlapang dada dalam meneruskan tugas harian. Kebaikan dan kejayaan P.O.Gombak adalah hasil usaha kalian semua. 

Akhir kata dari saya, semoga hubungan silaturrahim antara kita akan terus kekal walaupun di mana kita berada.

Sekian, Terima kasih.

Mohd Rosli Bin Mahmood




Baca selanjutnya...

16 Apr 2013

Selamat Datang Yusnida Yusoff

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Satu kekosongan jawatan E17 di P.O Gombak yang ditinggalkan oleh En. Abd. Razak Yusoff yang telah bersara akhirnya kini terisi.

Mulai 15 April 2013, seorang anggota dari ibu pejabat JP Selangor di Shah Alam (Unit Prosesan) iaitu Puan Yusnida bt Yusoff mula melapor diri bertugas di P.O Gombak.

Beliau memohon bertukar ke P.O.G kerana kini menetap di Sungai Buaya, Rawang disebabkan suami beliau bertugas di Bukit Beruntung. Beliau juga baru kembali bertugas setelah bercuti selama 3 bulan kerana melahirkan anak sulung beliau. Kira rezeki anaklah tu dapat bertukar ke POG, tahniah diucapkan.

Seiring dengan penghijrahan ini, diharapkan beliau akan lebih bersemangat dalam setiap tugasan di tempat baru ini.



Dalam pada itu, beliau juga kini telah sah menjadi ahli baru K-POG, maka janganlah malu-malu apabila didatangi Bendahari kelab iaitu En. Azizol yang akan datang beramah-mesra dengan semua ahli setiap kali hari gaji...hehe.

Kami di P.O.G amat mengalu-alukan kedatangan beliau ke sini.

Baca selanjutnya...

6 Apr 2013

Seminar Pencegahan Kebakaran di POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Hari ini anggota POG berpeluang mendengar ceramah tentang pencegahan kebakaran yang disampaikan oleh En.Jeffrey dari Pertubuhan Pencegah Kebakaran (FPS). Ceramah ini ditumpukan kepada kebakaran yang berlaku di rumah dan di dalam kenderaan.

anggota POG tekun mendengar ceramah...

Berikut adalah beberapa peringatan penting yang dipetik dari ceramah tersebut:

  • Kebiasaannya masyarakat kita tidak menyediakan alat pemadam api di rumah dan dalam kenderaan peribadi. Banyak kes kebakaran rumah dan kenderaan gagal diselamatkan kerana tiada alat pemadam api di dalam kereta atau dalam rumah.
  • Tindakan menggunakan air, kain basah, berguling atau menggunakan pasir bagi memadamkan kebakaran di peringkat awal biasanya boleh mendatangkan kemudaratan yang kekal. Tindakan yang paling selamat adalah menggunakan alat pemadam api jenis 'dry powder'.
  • Perkara paling penting semasa menggunakan alat pemadam api adalah melihat meter tekanan pada alat pemadam api tersebut. Jika tekanannya adalah kosong, tiada guna kita bersusah payah membawa alat pemadam api yang berat tersebut. Ini kerana alat pemadam api tersebut tidak berfungsi kerana tiada tekanan dalam tabungnya. Begitu juga jika tekanan alat pemadam api tersebut adalah terlalu tinggi, alat pemadam api tersebut tidak selamat untuk digunakan. Tiada guna ada alat pemadam api jika tidak diselenggara dengan betul.
  • Penting juga memasang alat pengesan asap di rumah sebagai langkah awal mengesan kebakaran. Alat pengesan asap tersebut mengeluarkan bunyi yang nyaring sehingga boleh menyebabkan orang tertidur terjaga. Diingatkan bahawa asap juga adalah pembunuh utama ketika berlaku kebakaran.
  • Pastikan supaya rumah tidak menjadi perangkap maut kepada ahli keluarga masing-masing. Alat keselamatan seperti jeriji besi yang dipasang pada rumah menyebabkan pencuri tidak lepas masuk tapi dalam masa yang sama penghuninya tidak lepas keluar jika berlaku kebakaran. Adalah penting untuk meletakkan kunci jeriji di tempat yang diketahui oleh semua ahli keluarga serta memberitahu tempat berkumpul jika berlaku kebakaran.

setelah mendapat kesedaran... kelihatan En. Rohaizad begitu berminat
untuk mencuba alat pemadam api...

Di akhir ceramah En. Jeffrey berkongsi kisah-kisah benar yang terjadi kepada mangsa kebakaran untuk dijadikan pengajaran. Turut disertakan borang tempahan untuk membeli alat pemadam api pada harga promosi. Pihak syarikat penaja Persatuan Pencegah Kebakaran akan menghubungi mereka yang berminat.
.
.
.




Baca selanjutnya...

5 Apr 2013

Majlis Solat Hajat, Bacaan Yaasin, Tahlil & Doa Selamat


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

5 April (Jumaat) -  Sejak kebelakangan ini, POG telah mengalami beberapa musibah seperti kecurian kabel, kebakaran fius sebanyak dua kali serta beberapa masalah sistem elektrikal yang masih belum selesai.

Hari ini POG telah mengadakan Majlis Solat hajat, bacaan surah Yaasin, tahlil dan doa selamat, sebagai salah satu ikhtiar memohon perlindungan dari Allah s.w.t agar POG dan seluruh warga kerjanya terhindar dari segala musibah dan keburukan.



Majlis tersebut dipimpin oleh En. Rosdi, Pengerusi Surau Al-Raudhah, Bukit Beruntung, Rawang, turut hadir Pengarah JP Selangor; Tn. Hj Ibrahim Jantan dan En. Mohd Fuad Hj. Ismail.
.
.
.


Baca selanjutnya...

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2012

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Di kesempatan ini kami di P.O Gombak merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2012 bagi JP Selangor, khususnya kepada dua anggota P.O Gombak yang menerima anugerah tersebut iaitu Pn. Nik Zafifah bt. Nik Ibrahim dan Pn. Nur Hidayu bt. Md Shukor.












Semoga kejayaan dan kecemerlangan yang tuan/puan tunjukkan dapat menjadi contoh teladan kepada warga POG yang lain seterusnya menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan jabatan.

Penghargaan: Semua gambar ihsan dari Sdra. Hanif Mohd Hanan, JP Selangor



Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.