Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

6 Apr 2013

Seminar Pencegahan Kebakaran di POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Hari ini anggota POG berpeluang mendengar ceramah tentang pencegahan kebakaran yang disampaikan oleh En.Jeffrey dari Pertubuhan Pencegah Kebakaran (FPS). Ceramah ini ditumpukan kepada kebakaran yang berlaku di rumah dan di dalam kenderaan.

anggota POG tekun mendengar ceramah...

Berikut adalah beberapa peringatan penting yang dipetik dari ceramah tersebut:

  • Kebiasaannya masyarakat kita tidak menyediakan alat pemadam api di rumah dan dalam kenderaan peribadi. Banyak kes kebakaran rumah dan kenderaan gagal diselamatkan kerana tiada alat pemadam api di dalam kereta atau dalam rumah.
  • Tindakan menggunakan air, kain basah, berguling atau menggunakan pasir bagi memadamkan kebakaran di peringkat awal biasanya boleh mendatangkan kemudaratan yang kekal. Tindakan yang paling selamat adalah menggunakan alat pemadam api jenis 'dry powder'.
  • Perkara paling penting semasa menggunakan alat pemadam api adalah melihat meter tekanan pada alat pemadam api tersebut. Jika tekanannya adalah kosong, tiada guna kita bersusah payah membawa alat pemadam api yang berat tersebut. Ini kerana alat pemadam api tersebut tidak berfungsi kerana tiada tekanan dalam tabungnya. Begitu juga jika tekanan alat pemadam api tersebut adalah terlalu tinggi, alat pemadam api tersebut tidak selamat untuk digunakan. Tiada guna ada alat pemadam api jika tidak diselenggara dengan betul.
  • Penting juga memasang alat pengesan asap di rumah sebagai langkah awal mengesan kebakaran. Alat pengesan asap tersebut mengeluarkan bunyi yang nyaring sehingga boleh menyebabkan orang tertidur terjaga. Diingatkan bahawa asap juga adalah pembunuh utama ketika berlaku kebakaran.
  • Pastikan supaya rumah tidak menjadi perangkap maut kepada ahli keluarga masing-masing. Alat keselamatan seperti jeriji besi yang dipasang pada rumah menyebabkan pencuri tidak lepas masuk tapi dalam masa yang sama penghuninya tidak lepas keluar jika berlaku kebakaran. Adalah penting untuk meletakkan kunci jeriji di tempat yang diketahui oleh semua ahli keluarga serta memberitahu tempat berkumpul jika berlaku kebakaran.

setelah mendapat kesedaran... kelihatan En. Rohaizad begitu berminat
untuk mencuba alat pemadam api...

Di akhir ceramah En. Jeffrey berkongsi kisah-kisah benar yang terjadi kepada mangsa kebakaran untuk dijadikan pengajaran. Turut disertakan borang tempahan untuk membeli alat pemadam api pada harga promosi. Pihak syarikat penaja Persatuan Pencegah Kebakaran akan menghubungi mereka yang berminat.
.
.
.




 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.