GUNUNG Kinabalu, setinggi 4095 meter (13,435 kaki) dari paras laut, merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan kelima tertinggi di Asia Tenggara.
Tiga orang anggota POG iaitu Ali, Shahrul dan Rozan berkesempatan menyertai ekspedisi mendaki gunung tersebut, yang turut disertai oleh 17 orang pendaki lain. Setelah mengharungi pendakian yang benar-benar menguji mental dan fizikal, akhirnya mereka berjaya mengibarkan bendera Jabatan di puncak Gunung Kinabalu pada jam 5.40 pagi, 15 Jun 2014 (Ahad).
Beberapa hari/minggu sebelum itu...
1 Mei 2014 - Para pendaki Misi Kinabalu menjalani latihan mendaki Bukit Broga (berketinggian 400 meter dari paras laut) dan Gunung Tok Wan (684 meter) di Semenyih sebagai persiapan menguatkan otot kaki dan mental. Pendakian tersebut turut disertai oleh pendaki sokongan iaitu sdra. Rohaizad dan Faliq.
24 Mei 2014 - Satu lagi latihan dijalankan dengan mendaki Gunung Datuk (884 meter) di Rembau, Negeri Sembilan.
Dalam satu majlis pelepasan ringkas, Ketua POG menyerahkan bendera untuk dikibarkan di puncak Gunung Kinabalu. Sayang sekali Sdra Wan Faizal (dua dari kiri) yang sepatutnya turut sama mendaki tidak dapat menyertai di saat-saat akhir kerana masalah kesihatan ahli keluarga terdekat.
Akhir kata, tahniah kepada ketiga-tiga pendaki. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan moral dalam menjayakan misi ini.