Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

22 Nov 2014

Sesi Program Kecemerlangan JP Selangor

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 18-21 November 2014 ( Selasa-Jumaat ), anggota gred E22 (termasuk KUP) dan ke atas telah menghadiri Sesi Program Kecemerlangan JP Selangor bertempat di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak.

Untuk makluman, program ini meliputi aktiviti Program Pembangunan Diri, Mesyuarat Pengurusan Negeri Bil 11/2014, Review Pencapaian Kerja 2014, Perbincangan Jawatankuasa Pelarasan LNPT dan Hala Tuju/Perancangan Kerja 2015. Peserta dalam program ini adalah seramai 60 orang. 

Berikut adalah beberapa intipati daripada ceramah 'Transformasi Diri Ke Arah Kecemerlangan Kerja' yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Sopian bin Salleh. Antara perkara yang dikongsi oleh beliau adalah 12 tanda-tanda seseorang pekerja yang bermasalah iaitu:

a. Kerap datang lewat.
b. Memberikan banyak alasan.
c. Merungut terhadap tugasan di luar jangkaan.
d. Kaki gosip (Mempercayai sumber khabar angin).
e. Merasa diri lebih pandai (Kadang-kadang mengatasi ketua sendiri).
f. Tidak percaya dan tidak yakin pada visi dan misi jabatan.
g. Kurang produktif berbanding rakan sekerja.
h. Rakan-rakan sekerja tidak seronok bekerja dengannya.
i. Kekerapan menerima teguran daripada stake holder atau pelanggan.
j. Hanya berkata 'YES' pada diri sendiri dan 'NO' pada orang lain.
k. Menongkah arus.
l. Tahap yang paling kritikal adalah burnout.



Dalam Mesyuarat Pengurusan pula, Pengarah JP Selangor, Tn. Hj. Ibrahim Jantan mengingatkan bahawa setiap anggota JP Selangor merupakan pemimpin tidak kira kepada diri sendiri, keluarga dan organisasi. Seorang pemimpin perlu berusaha untuk mencapai kecemerlangan bukan hanya dalam bidang kerja sahaja tetapi turut cemerlang dalam amal ibadah. 

Untuk menjadi pemimpin yang cemerlang, perlu ada daya ketahanan di dalam diri semasa menjalankan tugas. Membentuk daya ketahanan diri merupakan salah satu cabaran yang perlu diharungi oleh pemimpin dalam usaha untuk melahirkan kecemerlangan diri. Justeru, beliau menasihatkan semua anggota untuk mengambil iktibar daripada sesi ceramah motivasi yang telah berlangsung sepanjang program ini serta sama-sama bermuhasabah diri untuk menjana kecemerlangan.
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.