17 Jun 2015 (Rabu) - Kelab Pejabat Operasi Gombak telah mengadakan Majlis Ceramah Agama sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Ceramah tersebut disampaikan oleh Y.Bhg. Ustaz Mohd Zuhdi Bin Mat Piah (Imam 1 Masjid Bandar Tasik Puteri).
Berikut adalah intipati ceramah untuk kita renung dan amalkan bersama sepanjang bulan Ramadhan ini :
~ Ramadhan al-Mubarak bermaksud Ramadhan yang diberkati. Keberkatan itu bukan disebabkan bulan itu bulan Ramadhan tetapi turunnya al-Quran dalam bulan Ramadhanlah yang menjadikan bulan itu berkat lagi mulia.
~ Generasi kini tidak lagi cintakan al-Quran. Maka bermulanya Ramadhan ini sama-samalah kita berubah mendekatkan diri dengan al-Quran. Buat tadarus sekurang-kurangnya 1 mukasurat sehari menggantikan waktu makan tengah hari.
~ Sentiasa bermuhasabah diri untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, bukan hanya dalam bulan Ramadhan sahaja malah juga selepasnya.
~ Menghayati bahawa ibadah puasa itu kerana Allah, jangan cuma berlapar dahaga kerana semata-mata diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan. Maka kena tunaikan juga ibadah lain yang wajib seperti mendirikan solat 5 waktu dan menutup aurat serta banyak bersedekah dan sebagainya.
~ Jangan tinggalkan bangun bersahur walaupun dengan hanya minum seteguk air dan sebiji tamar. Sebaik-baiknya dilakukan di akhir malam ketika sudah hampir waktu subuh serta diiringi dengan banyak berdoa, beristighfar dan solat malam.
~ Mengerjakan solat subuh berjemaah, jika tak sempat ke surau/masjid sekurang-kurangnya dikerjakan di rumah bersama keluarga.
~ Sentiasa produktif di tempat kerja dan tidak bermalas-malasan kerana sikap bermalas-malasan itu akan menyebabkan bulan Ramadhan itu menjadi fitnah kepada orang Islam, seolah-olah dengan berpuasa menjadikan umat Islam malas, lemah dan tidak produktif.
~ Sentiasa amalkan mengerjakan solat dhuha setiap hari kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya, di mana seseorang itu akan memperolehi keampunan Allah SWT, murah rezeki dan ketenangan jiwa serta kehidupan.
~ Jangan membazir ketika berbuka, kawal nafsu makan dan nafsu mata ketika membeli makanan di bazar Ramadhan.
~ Berbuka bersama keluarga dan jangan makan terlalu banyak. Banyakkan berdoa sebelum berbuka kerana waktu sebelum berbuka adalah antara waktu mustajab untuk berdoa. Sebaiknya bergilir-gilirlah berdoa antara suami, isteri dan anak-anak menyatakan hasrat masing-masing dalam bahasa yang mudah difahami.
~ Solat maghrib berjemaah di rumah atau di masjid.
~ Solat isyak berjemaah di surau/masjid diikuti dengan solat terawih, solat witir dan bertadarus..
~ Begitulah seterusnya sehingga waktu sahur keesokannya dengan bangun bersolat malam (qiamullail).
Selesai ceramah, En. Arifin Amin mewakili POG menyampaikan sumbangan cenderahati kepada Ustaz Mohd Zuhdi.