Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada hari Isnin, 11 Jun 2018 bersamaan 26 Ramadhan 1439, Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Puan Che Norfairos binti Che Omar, Pembantu Perangkaan E19. Beliau akan bertukar ke Pejabat Operasi Kuala Krai, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan, berkuatkuasa mulai 4 Jun 2018.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Ketua POG, En. Frankie yang merakamkan penghargaan atas khidmat cemerlang sepanjang Puan Fairos berkhidmat di POG. Diikuti pula ucapan penghargaan dari wakil anggota Tetap, Puan Hazwani dan wakil anggota PSH, En. Fahmi.
Seterusnya Puan Fairos dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang telah memberikan kerjasama, bantuan dan tunjuk ajar sepanjang beliau bertugas di POG. Setelah kira-kira 10 tahun mencurah bakti di POG, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau. Pastinya pertukaran menjelang Syawal ini juga menjadi anugerah paling bermakna buat beliau setelah sekian lama terpaksa berjauhan dengan suami dan anak-anak di Kelantan.
Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi puan jadi kenangan
Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga
Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga
Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori
Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi
Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan beliau akan terus maju jaya, dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau sekeluarga di tempat yang baru serta berjaya mengejar segala impian di masa akan datang.