Bermula dengan Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 di PICC Putrajaya, maka bermulalah perlaksanaan pendaftaran dan pengemaskinian maklumat dalam sistem PADU dalam kalangan rakyat Malaysia.
PADU merupakan satu platform tunggal yang mengandungi maklumat profil individu dan isi rumah di Malaysia dengan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bertanggungjawab membangunkan dan menyelenggara PADU dengan kerjasama MAMPU.
Apa itu PADU?
Pangkalan Data Utama (PADU) mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan permastautin tetap di Malaysia. Maklumat profil ini akan di peroleh melalui pengintegrasian data pentadbiran dari pelbagai sumber.
Objektif PADU
1. Penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan "near real time "bagi digitalisasi dan penghasilan analitik berkala.
2. Penggubahan dasar dan proses membuat keputusan berpasukan data
3. Membolehkan pelaksanaan secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.
Tujuan PADU
Salah satu kepentingan mendaftar PADU adalah bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima bantuan dan subsidi bersasar serta perlindungan sosial melalui sistem PADU.
Bagi memudahkan proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat tersebut, kaunter fizikal telah diwujudkan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) serta di lokasi hotspot di seluruh 9 daerah di Selangor di mana pegawai-pegawai DOSM yang ditugaskan di lokasi-lokasi tersebut sedia membantu menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.