Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Persatuan dan Kesatuan (PPJPM, PPPPJPM dan KEPSTAT) sekali lagi telah menganjurkan Program Larian Statistik (StatsRun) 2015. Penganjuran StatsRun 2015 adalah bersempena dengan Sambutan Hari Statistik Sedunia 2015 yang disambut seluruh dunia pada 20 Oktober 2015 dan YB Senator Menteri, Dato' Seri Abdul Wahid Omar sekali lagi bersetuju untuk menjadi Penaung kepada program ini.
Antara objektif utama StatsRun 2015 adalah:
~ Meningkatkan jalinan kerjasama dengan masyarakat/massa dalam meningkatkan kesedaran kepentingan statistik dan mempromosi fungsi dan peranan statistik dalam pembangunan negara serta dalam pelbagai aspek kehidupan sejagat;
~ Merapatkan rantaian kerjasama dan kolaborasi di antara semua komuniti statistik di Malaysia dan pihak media massa dalam mempromosikan kepentingan statistik bagi membuat sesuatu keputusan dengan tepat (informed decision) ; dan
~Menggalakkan budaya kehidupan yang sihat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat sebagai pendorong kepada peningkatan produktiviti.
JP Selangor turut menghantar kontinjen seramai 105 orang termasuk 18 orang dari POG.
Diharapkan melalui pelaksanaan program ini, pelbagai lapisan masyarakat dapat lebih memahami terhadap kepentingan statistik serta peranan mereka dalam membantu bagi penghasilan serta pengeluaran statistik yang tepat untuk pembangunan negara. Diharapkan penyertaan aktif oleh anggota Jabatan dapat membantu kejayaan program ini secara langsung khususnya bersama-sama dalam berinteraksi dengan masyarakat secara lebih dekat seterusnya meningkatkan literasi statistik di kalangan komuniti dan masyarakat.