KUALA LUMPUR, 15 Februari 2017 (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia melantik Dr Mohd Uzir bin Mahidin sebagai Ketua Perangkawan Malaysia, berkuat kuasa 14 Februari 2017 bagi menggantikan Datuk Dr Abdul Rahman Hasan yang bersara wajib.
Mohd Uzir, 51 tahun, berkelulusan Doktor Falsafah Ekonomi dari University of Sheffield, United Kingdom mula menyertai perkhidmatan Perangkawan pada tahun 1990.
"Beliau berpengalaman luas dalam bidang ekonomi, sosial dan demografi," menurut jabatan itu dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, katanya ia akan meneruskan transformasi jabatan dan komited untuk membekalkan maklumat dan perkhidmatan statistik yang berkualiti dan boleh dipercayai kepada pengguna.
"Jalinan kerjasama bersama responden, pemegang kepentingan, pengguna statistik sama ada dari dalam negara dan antarabangsa akan terus diperkukuhkan," katanya.
-- BERNAMA --