Selasa, 2 April 2024 – Kelab Sukan, Kebajikan & Sosial DOSM Selangor (KSKS) telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran, Berbuka Puasa & Infak Ramadan bertempat di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14, Shah Alam bersama ahli-ahli kelab dan juga keluarga termasuk dari Pejabat Operasi Gombak dan Pejabat Operasi Kajang.
Kelab POG yang bernaung di bawah KSKS turut berkesempatan menghantar wakil ke majlis tersebut, yang dimeriahkan dengan kehadiran Puan Pengarah DOSM Selangor, Timbalan Pengarah dan Ketua Penolong Pengarah. Turut hadir adalah Ketua Pejabat Operasi Gombak dan Ketua Pejabat Operasi Kajang.
Sementara menunggu waktu berbuka, Puan Pengarah turut berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada para peserta Majlis Khatam Al-Quran serta sumbangan Kotak Kongsi Rezeki Imarah Ramadan hasil infak warga DOSM Selangor kepada ahli kelab yang layak.
Ramadan pun sudah hampir berada di penghujungnya. Semoga tarbiyyah Ramadhan kali ini dapat menjadikan kita insan yang lebih baik dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Daripada Abdullah bin Amru RA, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Puasa dan alQuran akan memberikan syafaat kepada hamba (orang yang berpuasa dan yang sentiasa membaca al-Quran) di hari kiamat nanti. Puasa akan berkata: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku telah menahan hamba-Mu ini daripada makan, minum dan perkara syahwat pada waktu siang, maka terimalah syafaatku kepadanya.” Manakala al-Quran pula akan berkata: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku telah menahan hamba-Mu ini daripada tidur di malam hari, maka terimalah syafaatku kepadanya.” Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: “Maka Allah pun menerima kedua-dua syafaat tersebut.”Sumber : Portal Rasmi JAKIM