Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

13 Aug 2018

Treking ke Air Terjun Sungai Chiling

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 12 Ogos 2018 (Ahad), beberapa anggota POG berkesempatan menyertai aktiviti treking di Air Terjun Sungai Chilling, Kuala Kubu Bharu yang juga merupakan kawasan Santuari Ikan Kelah Sg. Chiling.  Air terjun dan santuari ini dibuka untuk pelawat hanya pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Hari-hari lain ditutup untuk kerja-kerja pemuliharaan.

Dari pintu masuk kena trekking pula lebih kurang 200 meter hingga jumpa tapak perkhemahan yang cukup luas dan lengkap dengan kemudahan tandas, surau, wakaf dan kaunter pendaftaran. Santuari ini dijaga dan diuruskan oleh Jabatan Perikanan. Bayaran masuk cuma RM 1 seorang. Kena isytihar dan bayar deposit juga untuk bekalan air botol dan bungkusan makanan yang dibawa masuk untuk memastikan sampah dibawa keluar.

10.00 pagi, kami memulakan treking ke air terjun menyusuri laluan yang agak landai, memakan masa kira-kira 45 minit dan perlu melintasi anak sungai 6 kali termasuk 1 jambatan gantung (sungai yang sama sebenarnya, cuma kena lintas banyak kali sebagai jalan pintas ke air terjun). Selepas 3.00 petang tak dibenarkan mendaki ke air terjun atas sebab-sebab keselamatan. 






Di sepanjang sungai banyak ikan kelah dan tengas berkejar-kejaran dan mengerumuni kita kalau  ditabur makanan. Makanan ikan boleh dibeli di kaunter pendaftaran. Dilarang sama sekali menangkap ikan di sini dengan apa cara sekalipun, sama ada memancing, menjala, menyauk, menuba mahupun jika ilmu anda hebat dan mampu menangkap ikan menggunakan tangan kosong. Hukumannya agak berat iaitu boleh didenda sehingga RM 10,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Terdapat tiga tingkat air terjun di sini. Tingkat paling bawah paling ramai pengunjung, tingkat kedua sangat curam dan tiada laluan, manakala untuk ke air terjun tingkat ketiga perlu mendaki melalui laluan yang agak curam di tepi air terjun serta agak berbahaya.

Sayang sekali kerana ramai anggota lain yang ingin turut serta tetapi tidak berkesempatan kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Tak apa, lain kali kita buat lagi, harapnya lebih ramai dapat menyertai.

 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.