Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

19 Sept 2018

Kelahiran Cahaya Mata : Tahniah En. Rohaizad

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sukacita dimaklumkan bahawa isteri En. Rohaizad b. Mohamad Hashim , Pembantu Perangkaan E22 (KUP), Pejabat Operasi Gombak telah selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada jam 5.06 pagi, 18 September 2018 (Selasa).

Bayi seberat 3.75 kg tersebut telah selamat dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dinamakan Muhammad Na'il Rizqin bin Rohaizad.



Tahniah kepada En. Rohaizad dan isteri beliau sempena kelahiran cahaya mata kelima mereka itu. Kami di POG mendoakan semoga kehidupan mereka sekeluarga dirahmati, diberkati, dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik serta semoga putera-puteri mereka bakal menjadi anak yang soleh dan solehah... aamiinn. Insya Allah.


Baca selanjutnya...

15 Sept 2018

FitDOSM POG 14/9/18

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

14/09/2018 (Jumaat) - Warga POG telah menganjurkan program senaman FitDOSM demi menyahut seruan program FitDOSM oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bertujuan untuk memastikan anggota Jabatan  sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan cerdas.





Baca selanjutnya...

Ceramah Maal Hijrah 1440H

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

14 September 2018, bersamaan 4 Muharam 1440H (Jumaat) - Biro Sosial & Kerohanian, Kelab Pejabat Operasi Gombak telah mengadakan Majlis Ceramah Agama sempena menyambut kedatangan Maal Hijrah.

Ceramah tersebut disampaikan oleh Y.Bhg. Ustaz Ahmad Zimi bin Mohd Ghazali, Imam Masjid Batu 16, Rawang yang juga merupakan seorang konsultan Al-Ghazali Islamic Help (AGIH).



Berikut adalah intipati ceramah untuk kita renung dan amalkan bersama dalam usaha mencari keredaan Allah:

1. Amalkan Doa Pembuka 12 Pintu Kebaikan dengan istiqamah setiap pagi atau diamalkan setiap kali selepas solat, semoga dibukakan pintu-pintu kebaikan, dikurniakan keberkatan dan rahmat Allah serta dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.


Atau dalam versi Rumi:
"Allahummaftah Lii Abwaabil khoiri, wa abwaabas salaamah, wa abwaabas sihati, wa abwaaban ni'mati, wa abwaabal barokati, wa abwaabal quwwati, wa abwaabal mawaddati, wa abwaabar rohmati, wa abwaabar rizqi, wa abwaabal 'ilmi, wa abwaabal maghfiroti, wa abwaabal jannati, Ya Arhamar Rohimiin."

2. Sentiasa amalkan ucapan Alhamdulillah tanda kesyukuran atas segala nikmat Allah, terutamanya nikmat yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam.

3. Sentiasalah berdoa agar Allah membuka jalan kepada perubahan atau hijrah ke arah yang lebih baik.

4. Hijrah terbahagi dua jenis iaitu :

    a. Hijrah Makaniyah - berpindah meninggalkan suatu tempat ke suatu tempat yang lain, seperti
        penghijrahan yang dilakukan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah.

    b. Hijrah Maknawiyah - Secara Maknawiyah dibahagikan pula kepada empat iaitu Hijrah
        I'tiqadiah, Hijrah Fikriyah, Hijrah Syu'uriyyah dan Hijrah Sulukiyyah.

5. Hijrah I'tiqadiah (Hijrah Keyakinan atau Iman) - sentiasa berusaha meningkatkan keimanan kerana iman manusia sentiasa ada turun naiknya. Martabat iman ada 5 iaitu:

    a. Muslimin - Martabat paling rendah. Hanya mengaku sebagai muslim tapi tidak mengerjakan
        suruhan Allah dan masih melakukan maksiat dan dosa.

    b. Mukmin - Orang yang telah bertambah keimanannya dan semakin berkurangan dosanya.
        Mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

    c. Muhsinin - Orang yang kualiti imannya semakin baik dan dapat merasai Allah sentiasa melihat
        apa yang dilakukan. Sangat sedikit melakukan dosa dan lebih banyak melakukan kebaikan.
        Bukan sahaja melakukan amalan wajib malah juga amalan-amalan sunat.

    d. Mukhlisin - Orang yang hidupnya ikhlas hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah. Sangat
        menjaga akhlak dan ibadahnya.

    e. Muttaqin - Martabat iman yang paling tinggi, iaitu orang yang bertaqwa dan takut kepada Allah,
        dalam erti kata semakin takut semakin dekat dia dengan Allah dan hidupnya sentiasa
        menjadikan akhirat lebih utama.

6. Hijrah Fikriyah (Hijrah Pemikiran) - Seiring perkembangan zaman, kemajuan teknologi dan komunikasi tanpa sempadan, banyak pemikiran negatif seperti sekularisasi, liberalisasi, pluralisasi dan sebagainya meracuni pemikiran umat Islam. Oleh itu sangat penting melakukan hijrah pemikiran ke arah ajaran Islam yang sebenar seperti yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

7. Hijrah Syu'uriyyah (Hijrah Keduniaan) - Meninggalkan atau mengurangkan mengejar keseronokan dunia dan mengutamakan akhirat. Sebagai contoh, kita leka dengan hiburan sehingga melewatkan solat, maka berhijrahlah dengan melakukan solat di awal waktu.

8. Hijrah Sulukiyyah (Hijrah Akhlak) - Sentiasalah berusaha memperbaiki akhlak dan keperibadian kita dari sifat mazmumah (tercela) kepada sifat mahmudah (terpuji).

9. Imam Al-Ghazali menggariskan 5 kaedah :
 
    a. Penyucian jiwa iaitu menjaga hubungan dengan Allah dengan melaksanakan segala suruhan-Nya
        dan meninggalkan segala larangan-Nya serta turut menjaga hubungan sesama manusia.

    b. Mujahadah atau bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.

    c. Biasakan berbuat baik, seperti memperbanyakkan bersedekah, membaca Al-Quran, berzikir dan
        berdoa.

    d. Buat sesuatu yang bertentangan dengan akhlak yang buruk.

    e. Sentiasa berdamping dengan Allah.

10. Sebagai penutup, untuk mencapai kejayaan dan kesempurnaan, Imam Al-Ghazali menggariskan 12 perkara iaitu :

    a. Niat kerana Allah.
    b. Yakin.
    c. Doa
    d. Usaha
    e. Ikhlas
    f. Bersungguh-sungguh
    g. Istiqamah
    h. Tawakkal
    i. Sabar
    j. Syukur
    k. Reda
    l. Muhasabah
 
Di akhir kuliah, Ustaz Ahmad Zimi menekankan manfaat berada dalam majlis ilmu iaitu dapat menghilangkan kejahilan, dapat mengetahui amalan yang kita laksanakan mengikut landasan yang betul dan paling utama sentiasa dalam lindungan rahmat dari Allah s.w.t.


Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.