Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

13 Mar 2024

Kenaikan Pangkat : Tahniah Pn. Noriza & En. Zulrusdi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Seluruh warga P.O Gombak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada anggota-anggota POG di atas kenaikan pangkat ke jawatan hakiki dan juga secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBK).

Tahniah diucapkan kepada Puan Noriza binti Ali (Pembantu Perangkaan E26) dan Encik Mohamad Zulrusdi bin Mohd. Zain (Pembantu Perangkaan E22 (TBK1)). 



Semoga dengan kenaikan pangkat ini akan menjadi pemangkin dalam kemajuan kerjaya serta pencetus semangat kepada mereka untuk berkhidmat lebih cemerlang dalam melaksanakan segala tugasan dan amanah yang dipertanggungjawabkan di masa akan datang.
Baca selanjutnya...

6 Mar 2024

Sesi Taklimat Berpusat bagi Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (MaCoS) bagi Modul Penduduk & Perniagaan

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

06.03.2024 - Sesi Taklimat Berpusat bagi Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (MaCoS) bagi Modul Penduduk & Perniagaan telah dilaksanakan secara maya di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Gombak yang dihadiri oleh pegawai-pegawai Pejabat Operasi Gombak bermula dari 5 sehingga 6 Mac 2024.








Jabatan Perangkaan Malaysia akan melaksanakan Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (MaCoS) 2023 dikalangan penduduk dan pertubuhan terpilih. Kajian ini akan mula dilaksanakan pada Mac 2024 hingga Mei 2024.

Pihak jabatan amat memerlukan kerjasama yang baik daripada orang ramai akan pelaksanaan kajian ini berjalan lancar serta mencapai objektifnya.

Boleh layari laman sesawang dibawah untuk maklumat lanjut:
https://macos.dosm.gov.my/

Baca selanjutnya...

28 Feb 2024

Majlis Perpisahan En. Rashid

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lumrah alam, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Pada hari Rabu, 28 Februari 2024, Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk En. Mohd Rashid bin Ahmad, Pembantu Perangkaan E19 yang akan bertukar ke Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan, berkuatkuasa mulai 4 Mac 2023.


Majlis diserikan dengan ucapan oleh Puan Jay (Ketua POG) dan En. Ali (wakil Penyelia) yang merakamkan penghargaan atas khidmat cemerlang sepanjang En. Rashid berkhidmat di POG sejak tahun 2019.


penyampaian sumbangan & cenderahati oleh Ketua POG, Pengerusi KPOG dan wakil penyelia


Seterusnya En. Rashid dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang telah memberikan kerjasama, bantuan dan tunjuk ajar sepanjang beliau bertugas di POG. Setelah kira-kira 4 tahun mencurah bakti di POG, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau. 

klik gambar untuk paparan lebih besar


Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi puan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan beliau akan terus maju jaya, dilimpahkan kebahagiaan, kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau sekeluarga di tempat yang baharu serta berjaya mengejar  segala impian di masa akan datang.

Baca selanjutnya...

26 Feb 2024

Selamat Datang En. Akmar Harfizi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 26 Februari 2024, En. Akmar Harfizi bin Adanan, Pembantu Perangkaan Gred E19 (Lantikan baharu) telah melapor diri di Pejabat Operasi Gombak.


Anak jati Kg. Abi, Kangar, Perlis ini ditempatkan di Unit Ekonomi, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh En. Mohd Rashid bin Ahmad yang akan bertukar ke DOSM Kelantan berkuatkuasa 4 Mac 2024.

POG mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan En. Akmar ke dalam keluarga POG, semoga beliau cepat menyesuaikan diri seterusnya memberikan komitmen yang tinggi sepanjang bertugas di sini.

Baca selanjutnya...

15 Jan 2024

Bermulanya Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Bermula dengan Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 di PICC Putrajaya, maka bermulalah perlaksanaan pendaftaran dan pengemaskinian maklumat dalam sistem PADU dalam kalangan rakyat Malaysia.  

PADU merupakan satu platform tunggal yang mengandungi maklumat profil individu dan isi rumah di Malaysia dengan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bertanggungjawab membangunkan  dan  menyelenggara PADU dengan kerjasama  MAMPU.

Apa itu PADU?
Pangkalan Data Utama (PADU) mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan permastautin tetap di Malaysia. Maklumat profil ini akan di peroleh melalui pengintegrasian data pentadbiran dari pelbagai sumber.

Objektif PADU
 1. Penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan "near real time "bagi digitalisasi dan penghasilan analitik berkala.
 2. Penggubahan dasar dan proses membuat keputusan berpasukan data 
 3. Membolehkan pelaksanaan secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.

Tujuan PADU
Salah satu kepentingan mendaftar PADU adalah bagi memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima bantuan dan subsidi bersasar serta perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Bagi memudahkan proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat tersebut, kaunter fizikal telah diwujudkan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) serta di lokasi hotspot di seluruh 9 daerah di Selangor di mana pegawai-pegawai DOSM yang ditugaskan di lokasi-lokasi tersebut sedia membantu menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.



Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.