Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

22 Dec 2023

Kajian Rintis Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 November 2023 telah bersetuju supaya mewujudkan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai satu platform tunggal maklumat profil individu dan isi rumah di Malaysia dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Kementerian Ekonomi bertanggungjawab membangunkan  dan  menyelenggara PADU dengan kerjasama  MAMPU.

Pada 22 Disember 2023 (Jumaat), Kajian Rintis PADU bagi daerah Gombak telah diadakan bertempat di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah, Ulu Kelang,  Ampang. Kajian rintis ini diselia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersama Kementerian Ekonomi, dengan bantuan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Gombak dan Petaling. 

Sebanyak 34 TK terpilih dalam menjayakan kajian ini. Alhamdulillah, kerjasama baik telah diberikan oleh pihak JAKOA, Tok Batin dan para penduduk di situ.

Kajian rintis ini adalah bertujuan untuk menjalankan pengujian prestasi semua fungsi yang tersedia di portal PADU bagi proses pengemaskinian maklumat orang asli di kawasan pedalaman yang kurang mendapat kemudahan akses internet. 

pengujian sistem

taklimat ringkas






cenderahati kepada Tok Batin



Untuk makluman, mulai 2 Januari 2024, semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat anda ke dalam sistem PADU. Keutamaan mendaftar PADU adalah untuk memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial melalui sistem PADU.

Baca selanjutnya...

21 Dec 2023

Kelahiran Cahaya Mata : Tahniah Puan Emily

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sukacita dimaklumkan bahawa Puan Emily Singa, Pembantu Perangkaan E22 (TBK1), telah selamat melahirkan cahaya mata lelaki pada jam 7.41 pm, 21 Disember 2023 di Hospital Selayang.


Tahniah kepada Puan Emily dan suami sempena kelahiran cahaya mata ketiga mereka itu yang diberi nama Alder Nayden anak Lawrence.

Kami warga POG mendoakan semoga kehidupan mereka sekeluarga dilimpahi kebahagiaan, dimurahkan rezeki serta dikurniakan kesihatan yang baik.


Baca selanjutnya...

19 Dec 2023

Perbincangan Pengoperasian PADU Serta Lawatan ke PEDI Daerah Hulu Selangor

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

18 & 19 Disember 2023 - Pegawai Penyelaras Pangkalan Data Utama (PADU) DOSM Selangor bagi daerah Hulu Selangor, Encik Mohd Rosli Mahmood bersama pegawai-pegawai yang terlibat telah mengadakan sesi perbincangan di Pejabat Operasi Gombak dan membuat lawatan tapak ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang terdapat di daerah Hulu Selangor. 

Terdapat 12 buah Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di dalam daerah Hulu Selangor yang menyediakan kemudahan perkhidmatan ICT seperti bilik latihan, komputer, akses internet, dan percetakan kepada komuniti setempat. 











Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) sekitar Hulu Selangor akan bekerjasama menyediakan fasiliti serta liputan internet kepada penduduk setempat bagi memudahkan pendaftaran dan pengemaskinian maklumat di dalam Sistem PADU yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2024.

Baca selanjutnya...

15 Dec 2023

Lawatan Akademik dari ASWARA ke POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

15 Disember 2023 (Jumaat) - Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mengadakan lawatan akademik ke Pejabat Operasi Gombak, Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor.  Lawatan ini diketuai oleh Encik Saiful Azhar Mohd, Pensyarah Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan.

Ketua Pejabat Operasi Gombak, DOSM Selangor turut mengalu-alukan kehadiran pasukan ASWARA dengan menyampaikan taklimat ringkas mengenai peranan Jabatan, capaian produk dan perkhidmatan DOSM serta perkongsian statistik ekonomi dan demografi khususnya bagi negeri Selangor.

Lawatan ini juga bertujuan bagi para pelajar yang terlibat dalam melengkapkan tugasan projek Semester 1/ Tahun 1 bagi subjek Prinsip Ekonomi. Diharap lawatan ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk membina jaringan hubungan dan kerjasama dengan DOSM.





Terima kasih kepada ASWARA di atas lawatan akademik ke pejabat kami.



Baca selanjutnya...

14 Dec 2023

Sesi Perjumpaan Bersama Pengarah DOSM Selangor Bilangan 2/2023

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

14 DISEMBER 2023 (Khamis) - Sesi Perjumpaan Bersama Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Selangor Bilangan 2 Tahun 2023 telah diadakan bertempat di Ballroom Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dihadiri semua warga tetap DOSM Selangor. 


Aturcara program :

1. Ucapan Puan Pengarah yang menyampaikan amanat agar warga DOSM Selangor terus cekal dan bersemangat untuk menghadapi tahun 2024 yang lebih mencabar antaranya perlaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) yang bakal dilaksanakan pada awal tahun, diikuti dengan perlaksanaan Banci Pertanian bermula Februari 2024.

2. Imbas kembali segala aktiviti DOSM Selangor sepanjang tahun 2023.

3. Penyampaian penghargaan kepada anggota yang mempunyai rekod kehadiran cemerlang sepanjang tahun 2023. Tahniah diucapkan kepada semua penerima.

4. Sesi bersama LPPKN Selangor  yang di sampaikan oleh Encik Fairul Desa, Ketua Unit Penerangan Dan Pendidikan LPPKN Negeri Selangor bertajuk Komunikasi Keluarga Vs Komunikasi Pejabat.

5. Sesi 'team building' oleh Kelab Sukan, Kebajikan dan Sosial (KSKS), bersama motivator jemputan Syed Bismit.



Kredit Video : Team Multimedia DOSM Selangor






Semoga warga DOSM Selangor khususnya warga POG terus cekal dan bersemangat untuk menghadapi tahun 2024 yang lebih mencabar nanti.

Baca selanjutnya...

8 Dec 2023

Gotong Royong Perdana POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Menghampiri penghujung tahun, banyak kerja-kerja operasi khususnya Banci Ekonomi telah selesai. Kini masa untuk bergotong-royong demi menjadikan persekitaran pejabat lebih kondusif dan selesa.




Terima kasih kepada semua yang terlibat dan bertungkus lumus menyumbang tenaga.
Baca selanjutnya...

30 Nov 2023

Kelahiran Cahaya Mata : Tahniah En. Afiq

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Sukacita dimaklumkan bahawa isteri kepada En. Mohd Afiq Aizzuddin bin Wahab, Pembantu Perangkaan E22 (TBK1), telah selamat melahirkan cahaya mata perempuan pada jam 12.53 am, 30 November 2023.

Bayi seberat 2.5 kg tersebut telah selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan dinamakan Rayna Nelissa bt Mohd Afiq Aizzuddin.



Tahniah kepada En. Afiq dan isteri sempena kelahiran cahaya mata ketiga mereka itu.

Kami warga POG mendoakan semoga kehidupan mereka sekeluarga dirahmati, diberkati, dimurahkan rezeki, dikurniakan kesihatan yang baik serta semoga putera-puteri mereka bakal menjadi anak yang soleh dan solehah... aamiinn. Insya Allah.
Baca selanjutnya...

28 Nov 2023

Majlis Perpisahan En. Frankie, Mantan Ketua Pejabat Operasi Gombak

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada 28 November 2023 (Selasa), Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk En. Frankie anak Albert Antau, mantan Ketua Pejabat Operasi Gombak yang akan bertukar ke Pejabat Operasi Tawau, DOSM Sabah berkuatkuasa mulai 1 Disember 2023.

Sebagai kejutan, majlis turut dihadiri oleh 3 orang jemputan khas iaitu mantan Penolong Pegawai Perangkaan yang telah menjadi tulang belakang sepanjang 10 tahun 7 bulan En. Frankie mengetuai POG iaitu Puan Norazlinda bt Ramli, Cik Siti Norasyikin bt Mohd Ghani dan Puan Norashikin bt Nasokha.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Rashid, diikuti ucapan oleh wakil-wakil anggota POG yang berkongsi kenangan dan merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan khidmat cemerlang sepanjang En. Frankie memimpin POG. Antara wakil yang menyampaikan ucapan ialah :

1. Cik Nor Hazimah (Penolong Pegawai Perangkaan / Pengerusi KPOG)
2. En. Ali (wakil Penyelia)
3. Pn. Nik Zafifah (wakil Unit Kawalan)
4. Pn. 'Ainun Sa'adah (wakil Unit Pentadbiran)
5. En. Amirul (wakil PMS)
6. Pn. Norashikin (wakil mantan Penolong Pegawai Perangkaan)

Seterusnya En. Frankie dalam ucapannya telah menyampaikan amanat serta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota POG yang telah memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang beliau memimpin POG. Pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau. 



Pengerusi Majlis & Pembaca Doa

ucapan wakil-wakil anggota POG

pegawai yang diraikan

penyampaian cenderahati

insan-insan hebat yang menjadi tulang belakang En. Frankie
dalam menjadikan POG hebat lagi awesome




Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala keterlanjuran serta merakamkan terima kasih tidak terhingga atas segala tunjuk ajar, teguran, dorongan dan nasihat yang telah beliau curahkan. 

Kami turut mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan, kesejahteraan, dipermudahkan segala urusan, berjaya mengejar segala impian di masa akan datang serta terus maju jaya dengan lebih cemerlang dalam menjalankan tugas memimpin Pejabat Operasi Tawau nanti.

Kredit video : Muhammad Hazwan

Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi... 
 
Baca selanjutnya...

2 Nov 2023

Selamat Datang Puan Jay, Ketua baharu POG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Pada 1 November 2023, Puan Jay Purani a/p Arumugam, Perangkawan Gred E44 telah melapor diri di Pejabat Operasi Gombak selaku Ketua Pejabat Operasi yang baharu, menggantikan En. Frankie anak Albert Antau yang akan bertukar ke Pejabat Operasi Tawau, Sabah.


Telah berkhidmat di Jabatan Perangkaan Malaysia sejak tahun 2008, Puan Jay yang berasal dari Taiping, Perak sebelum ini ditempatkan bertugas di DOSM Perak.

Seluruh warga POG mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kedatangan Puan Jay ke dalam keluarga POG. Semoga beliau cepat menyesuaikan diri seterusnya memberikan komitmen yang tinggi untuk memimpin POG sepanjang bertugas di sini.
Baca selanjutnya...
 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.