Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

16 Feb 2023

Majlis Perpisahan Puan Shikin

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Pada 16 Februari 2023 (Khamis), Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Puan Norashikin bt Nasokha, Penolong Pegawai Perangkaan Gred E29 yang bertukar ke Seksyen Prosesan & Analisis, Ibu Pejabat DOSM Selangor berkuatkuasa mulai 6 Februari 2023.

Majlis turut dihadiri oleh En. Shahrill, Ketua Pejabat Operasi Kajang serta En. Fakhrul dari Ibu Pejabat DOSM Shah Alam.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengerusi Kelab POG, En. Azeman serta Ketua POG, En. Frankie yang berkongsi kenangan serta merakamkan penghargaan atas kepimpinan dan khidmat cemerlang sepanjang Puan Shikin berkhidmat di POG. 

Seterusnya Puan Shikin dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang beliau berada di POG. Walaupun cuma setahun sempat mencurah bakti di POG, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau. 












Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala keterlanjuran serta merakamkan terima kasih tidak terhingga atas segala tunjuk ajar, teguran, dorongan dan nasihat yang telah beliau berikan dan mendoakan beliau akan terus maju jaya serta berjaya mengejar segala impian di masa akan datang.

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi... 
(tak jauh pun, kat Shah Alam je)

  

 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.