Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

13 Apr 2018

Selamat Bersara En. Haidzir

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

12 April 2018 (Khamis) - Lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Hari ini merupakan hari terakhir En. Haidzir bin Kidam bertugas di Pejabat Operasi Gombak dan akan mula bercuti rehat sebelum menamatkan perkhidmatan atas sebab bersara wajib pada usia 60 tahun.

Sesungguhnya seluruh warga POG amat merasai kehilangan seorang kakitangan yang berdedikasi lagi berpengalaman luas seperti beliau. Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan En. Haidzir a.k.a Wak Dir sentiasa sihat dan berbahagia menikmati alam persaraan serta dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau bersama keluarga.







Insya Allah, warga POG akan mengadakan majlis perpisahan untuk menzahirkan penghargaan kepada beliau tidak lama lagi.

Berikut adalah email Salam Perpisahan dari beliau kepada seluruh warga DOSM :

Assalamualaikum wrb, Salam Sejahtera, Salam 1 Statistik

YBhg. Dato’ Sri Dr. Ketua Perangkawan Malaysia
YBrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Ekonomi)
Ybrs. Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial/Demografi)
Pengarah Kanan Bahagian
Pengarah Kanan
Pengarah Negeri
Tuan/Puan,

Alhamdulillah dengan ketentuan dan izinNya saya Haidzir Bin Kidam, Pembantu Perangkaan Gred 22 (KUP) di Pejabat Operasi Gombak, DOSM Selangor akan bersara wajib pada 12 Jun 2018 setelah berkhidmat selama 37 tahun. Hari ini 12 April 2018 merupakan hari terakhir saya bertugas di DOSM dan esok saya akan mula bercuti rehat sebelum bersara.

Pada kesempatan ini, saya dengan rendah diri memohon ampun dan maaf zahir batin diatas tingkah laku, terkasar bahasa, tutur kata yang kurang menyenangkan sepanjang persahabatan kita. Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana memperolehi banyak pengalaman, kenangan, tunjuk ajar dari pegawai-pegawai dan sahabat-sahabat sepanjang saya berkhidmat di DOSM. Saya juga memohon dihalalkan makan dan minum serta ilmu yang diperolehi dari tuan/puan. Semoga silaturrahim dan ukhwah yang terjalin ini akan terus berkekalan. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan kekurangan itu adalah kelemahan saya sendiri.

Saya juga mendoakan YBhg. Dato’ Sri Dr./ Tuan/Puan dan seluruh warga DOSM serta keluarga akan sentiasa di bawah lindunganNya, semoga DOSM akan terus mencapai prestasi yang cemerlang dan unggul sebagai Penjana Statistik Negara yang terbilang di persada dunia.

Periuk kera di pohon berangan,
Lembah rata udang di paya,
Apabila bersara dilupa jangan,
Ada acara undanglah saya.

Sekian, terima kasih.

HAIDZIR BIN KIDAM
Pejabat Operasi Gombak
Jabatan Perangkaan Malaysia
Negeri Selangor.
No.Tel : 017-6985881

 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.