Sepatah Dua Kata

Blog Kelab Pejabat Operasi Gombak (K-POG) ini diwujudkan sebagai wadah perkongsian maklumat khususnya sesama ahli kelab dan juga sesama rakan-rakan lain di DOSM umumnya. Blog ini akan melaporkan segala perkembangan aktiviti kelab dan juga segala peristiwa yang berlaku di POG. _______________________________________________________________________________

16 Sept 2023

Majlis Perpisahan Puan Hazwani

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Lumrah alam, setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Pada hari Jumaat, 15 September 2023, Kelab POG telah menganjurkan majlis perpisahan untuk Puan Hazwani bt Abdullah, Pembantu Perangkaan E22 TBK1 yang akan bertukar ke Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan, berkuatkuasa mulai 4 September 2023.

Majlis diserikan dengan ucapan oleh En. Frankie (Ketua POG), Cik Hazimah (Pengerusi K-POG), En. Azeman (wakil Penyelia) serta Puan Ainun (wakil anggota Tetap) yang merakamkan penghargaan atas khidmat cemerlang sepanjang Puan Hazwani berkhidmat di POG sejak dari awal penubuhannya pada tahun 2008. 

Seterusnya Puan Hazwani dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota POG yang telah memberikan kerjasama, bantuan dan tunjuk ajar sepanjang beliau bertugas di POG. Setelah kira-kira 16 tahun mencurah bakti di POG, pastinya banyak memori suka, duka, pahit dan manis yang akan dikenang hingga ke akhir hayat beliau. 










Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi puan jadi kenangan

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Hati sayu merenung malam
Cengkerik dan unggas meneman diri
Bertemu berpisah lumrah alam
Pasti jadi suatu memori

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Seluruh warga POG dengan tulus ikhlas mendoakan beliau akan terus maju jaya, dilimpahkan kesejahteraan dan keberkatan dalam kehidupan beliau sekeluarga di tempat yang baharu serta berjaya mengejar  segala impian di masa akan datang.

 
PENAFIAN: Kelab P.O Gombak (K-POG) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan, kerosakan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman blog ini.